Sorting by

×

‘SUAMI SALAI, ISTERI MASAK’

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

REMBIA 12 September – Gandingan kepakaran suami menyalai dan air tangan isteri menyediakan hidangan masak lemak menggunakan resipi orang lama, menghasilkan aneka lauk kampung tradisional memiliki rasa asli masyarakat Melayu.

Pemilik kedai salai juga popular dengan panggilan Kedai Roslan, Roslan Abdul Rahman, 66, berkata, bagi membangkitkan lagi keaslian masakan disediakan, isi ikan, daging dan perut disalai menggunakan bara kayu pokok rambutan, manggis dan langsat.

Katanya, kayu pokok buah-buahan itu dipilih kerana baranya yang kuat membantu isi ikan atau daging disalai masak dengan sekata, tekstur menarik dan menghasilkan rasa lebih enak, sementara itu penggunaan sabut kelapa pula membangkitkan lagi aroma masakan.

“Hidangan paling laris di kedai saya adalah patin salai masak lemak dicampur belimbing buluh. Kita juga menawarkan salai pelbagai jenis ikan sungai dan kolam seperti baung, lampan, keli, daging serta perut. Lebih istimewa pelanggan boleh pilih sendiri ikan salai mengikut citarasa mereka.

“Selepas pelanggan pilih ikan atau daging, isteri saya akan memasak lauk menggunakan resipi diwarisi daripada ibunya. Alahamdulillah gandingan kerjasama kami berdua kedai ini sudah bertahan selama 16 tahun selepas mula dibuka pada 10 Jun 2010,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Tampin, Kampung Jelatang, di sini.

Roslan berkata, kedainya hanya dibuka dari Isnin hingga Khamis itu turut menggamit pelanggan dari Putrajaya dan Negeri Sembilan selain penduduk sekitar Alor Gajah.

Menurutnya, selain masakan salai sebagai menu utama kedainya juga menawarkan sarapan pagi seperti nasi lemak dan pelbagai jenis tosai.

Berkongsi kisahnya, Roslan berkata, idea membuka perniagaan itu tercetus selepas dua anaknya ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di universiti.

“Ketika itu cuma saya sahaja bekerja, kakitangan pangkat rendah gaji tidak seberapa, jadi isteri suarakan cadangan untuk buka kedai ini. Alhamdulillah berkat rezeki perniagaan kedua-dua anak sudah berjaya menggenggam ijazah, berkahwin dan saya pula sudah ada cucu.

“Selain resipi tradisional, teknik salai yang betul, keikhlasan dan tidak berkira dalam urus niaga juga penting untuk menambat hati pelanggan, bagi saya kepuasan pelanggan itu amat penting,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post MEDIA PERKUKUH PERANAN KOLEJ KOMUNITI DI MELAKA
Next post ‘KERETAPI SARONG’ GEGAR MELAKA ESOK