
SUARA LANTANG MOHAMAD IMAN SHAHZWAN BAWA TUAH
AYER KEROH 12 September – Bersuara lantang dan penuh keyakinan, Mohamad Iman Shahzwan Mohamad Shahnaz, 12, tampil memukau di pentas sehingga berjaya meraih gelaran johan Kategori Sekolah Rendah pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Melaka 2025.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang itu membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, sekali gus mencipta momen indah yang akan dikenang sepanjang hayatnya.
“Mula-mula memang rasa takut, tapi saya paksa diri untuk yakin dan cabar diri supaya berani.
“Alhamdulillah, latihan selama tiga minggu akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Terdahulu, dia menerima hadiah kemenangan yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Mohamad Iman Shahzwan berkata, minatnya dalam pidato mula dipupuk sejak darjah empat dan dia tidak pernah berhenti mencuba walaupun pernah tewas dalam beberapa pertandingan.
“Tahun lalu, saya hanya meraih tempat ketiga pidato anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat kebangsaan, pengalaman itu yang menjadi pembakar semangat untuk saya terus memperbaiki diri.
“Setiap kali masuk pertandingan, saya belajar perkara baharu. Jika kalah, saya jadikannya sebagai motivasi untuk bangkit dan mencuba lagi,” katanya.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, kejayaan yang diraih tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu ibu bapanya yang sentiasa memberikan kata-kata semangat.
“Ibu dan ayah selalu pesan supaya jangan fikir kalah, tetapi buat yang terbaik. Mereka sentiasa ada di sisi saya dari mula sampai ke pentas akhir.
“Kalau minat, jangan tunggu. Cuba dahulu walaupun takut. Kalah bukan pengakhiran, tapi permulaan untuk kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Dia turut berterima kasih kepada keluarganya yang sanggup merentas perjalanan jauh dari Pulau Pinang ke Melaka untuk melihat sendiri persembahannya di pentas akhir di MITC, Ayer Keroh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.