SUKMA 2022: Melaka hantar pasukan Ragbi Wanita buat julung kali

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KLEBANG 27 Mac- Buat julung kalinya Melaka akan menghantar pasukan ragbi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur dari  29 Sept hingga 8 Okt depan.

Presiden Ragbi Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pasukan ragbi wanita itu kini sedang giat menjalani latihan ‘klinik ragbi’ setiap minggu sebagai persiapan.

Katanya, meskipun pasukan baharu dibentuk pada awal tahun lalu, namun ia tidak mematahkan semangat kesemua 30 atlet ragbi wanita itu.

” Tahun ini baharu diwujudkan pembangunan Ragbi wanita dan kita berjaya membentuk pasukan di mana Melaka akan menghantar pasukan wanita buat julung kali ke SUKMA tahun ini.

“Meskipun baharu, tapi kita yakin dengan ruang masa yang berbaki empat bulan, kita akan persiapkan atlet ragbi wanita menghadapi temasya SUKMA ke 20 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perlawanan Akhir Kejohanan Liga Ragbi Melaka di Padang Klebang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata bakat-bakat atlet untuk membentuk pasukan ragbi itu dikenal pasti bermula daripada sekolah dan menerusi pencarian pemain wanita sekitar tahun lalu.

“Pemain- pemain ragbi ini kita kenal pasti bakat dan kebolehan mereka ini daripada zaman sekolah dan kita ‘open’ (buka) penyertaan, selepas itu kita kumpulkan mereka untuk menyertai klinik ragbi.

“Klinik ragbi wanita diadakan setiap minggu di beberapa lokasi dalam negeri untuk latihan menjelang SUKMA kelak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2303
Kongsi :
Previous post SOP solat jarak satu sejadah di surau dan masjid di Melaka bermula 1 April – Sulaiman
Next post Lebih 1.5 juta individu dewasa terima dos penggalak COVID-19
Ubah saiz-+=