SOP solat jarak satu sejadah di surau dan masjid di Melaka bermula 1 April – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

UJONG PASIR – Melaka membenarkan solat berjemaah di surau dan masjid dengan penjarakan satu sejadah antara jemaah lain bermula 1 April ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kelonggaran itu bagaimanapun masih tertakluk kepada kapasiti di setiap surau dan masjid.

“Di Melaka, jarak (antara jemaah) satu sejadah ke satu sejadah, masih ada sedikit penjarakan sosial.

“Bukan tidak boleh rapat tetapi mesti ada penjarakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Raya Baloy di Bukit Senjuang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri menghormati apa juga syarat ditetapkan kerajaan Persekutuan dalam peralihan fasa ke arah endemik.

SULAIMAN ditemui pemberita selepas merasmikan Pasar Raya Baloy di Bukit Senjuang di sini hari ini.

Namun katanya, demi kebaikan rakyat Melaka, pihaknya perlu memaklumkan kepada Persekutuan untuk melaksanakan penambahbaikan atau ketetapan baharu prosedur operasi standard (SOP).

“Sebagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 terdahulu, kita hanya benarkan 13 jemaah dalam surau dan masjid untuk solat berjemaah.

“Kemudian penambahbaikan kita benarkan pada ketika itu kepada 40 jemaah, jadi kita mematuhi apa sahaja kelonggaran di peringkat Persekutuan.

“Kalau dalam Melaka, jika ianya (kelonggaran) baik untuk kebaikan rakyat, kita akan mohon (sebarang SOP baharu mengenai solat berjemaah) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Pada 9 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pemansuhan penjarakan fizikal saf solat berjemaah.

Jelasnya, perkara itu diputuskan mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan ibadah tanpa penjarakan fizikal dan juga prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid dan surau adalah tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri-negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1816
Kongsi :
Previous post Program e-Pemula bakal beri manfaat kepada lebih 2 juta belia dengan peruntukan RM300 juta – Tengku Zafrul
Next post SUKMA 2022: Melaka hantar pasukan Ragbi Wanita buat julung kali
Ubah saiz-+=