
SWM ENVIRONMENT PERLUAS FASILITI KITARECYCLE, TAWAR MATA GANJARAN
AYER KEROH 30 Julai – SWM Environment terus komited memacu budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat melalui pelaksanaan program KITARecycle, sebuah inisiatif digital diperkenalkan sejak 2018 di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Program ini diwujudkan bagi memudahkan orang ramai mengasingkan sisa kitar semula di punca selain menjadikan proses itu lebih mudah, tersusun dan sistematik.
Melalui aplikasi KITARecycle, pengguna hanya perlu mendaftar sebagai ahli untuk mendapatkan kod QR yang berfungsi sebagai pengecam identiti.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, kod ini kemudiannya perlu ditampal atau ditulis pada bungkusan bahan kitar semula sebelum dihantar ke fasiliti khas disediakan pihaknya.
“Menariknya, program ini turut menawarkan mata ganjaran kepada pengguna berdasarkan jenis dan kuantiti bahan kitar semula yang dihantar. Mata ganjaran tersebut boleh ditebus dalam bentuk wang tunai melalui aplikasi KITARecycle atau laman web rasmi www.kitarecycle.com yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.
“Selain itu, program ini turut dibantu oleh pasukan khas 3R Troopers ditugaskan untuk mengurus kutipan bahan kitar semula di sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta sektor swasta mengikut jadual yang ditetapkan.
“Antara barangan yang diterima termasuklah kertas, plastik, logam, tin aluminium, bekas minuman tetrapak serta sisa elektronik seperti peralatan elektrik yang tidak lagi digunakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, setakat ini, lebih 50 fasiliti KITARecycle disediakan di lokasi strategik merangkumi ketiga-tiga negeri terlibat.
Katanya di Melaka, fasiliti disediakan di Pusat Pandu Lalu KITARecycle Taman Botanikal, TS Park Taman Desa Bertam, Masjid Cina Negeri Melaka, Penjara Sungai Udang, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Masjid As-Salam Kesang Tua, Jasin, Masjid Sayyidina Abu Bakar, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), PDG Group Berhad dan Teladan Group.
Mohd Norlisam berkata, sebagai langkah memperluas kemudahan, SWM Environment menerusi kerjasama dengan PDG Group Berhad dimeterai pada 22 Februari lalu, telah menambah dua unit Drop-off Collection Point KITARecycle di dua blok I-Asrama, Eco Park Ayer Keroh.
Jelasnya, Kemudahan ini memberi manfaat kepada lebih 3,000 pekerja asing berdaftar yang menetap di kawasan tersebut untuk menghantar barangan kitar semula dengan lebih mudah melalui program KITARecycle.
Inisiatif ini bukan sahaja menyokong amalan kelestarian alam sekitar, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk menyertai program kitar semula berinsentif melalui sistem ganjaran KITARecycle yang ditawarkan oleh SWM Environment.
SWM Environment juga merancang untuk memperluas pusat-pusat pengumpulan barangan kitar semula ke beberapa kawasan sekitar negeri Melaka pada masa akan datang, dengan kerjasama rakan strategik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.