Syukur, cucu dapat baju raya

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

JASIN 3 April – “Lega apabila ada juga persalinan baju raya baharu buat cucu, nampak mereka senyum saya pun turut senyum,” itu kata warga emas Zaharah Said, 68.

Menurut Zaharah, Ramadan dan Aidilfitri tahun ini menjadi detik paling sedih buat lima cucunya apabila bapa kanak-kanak berkenaan meninggal dunia sebulan lalu.

Katanya, akibat daripada itu persiapan buat lima cucunya itu tidak dapat dilakukan seperti tahun sebelum ini memandangkan anaknya bukan sahaja masih dalam tempoh edah malah baru sahaja habis berpantang.

“Ikutkan perancangan awal tiada persiapan untuk raya tahun ini kerana kami sekeluarga masih terkejut dan bersedih tetapi sudah tertulis rezeki cucu-cucu ini.

“Ketika dimaklumkan cucu nombor tiga dan empat masing-masing berusia enam dan 11 tahun terpilih menerima bantuan kami amat bersyukur,” katanya.

Warga emas itu ditemui pada Program Kasihmu Ramadan, Mewarnai Syawal Bersama Anak Yatim yang disempurnakan Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari, di Jasin Bestari, semalam.

Zaharah yang menetap di Selandar berkata, pada awalnya dia hanya menyangka akan menerima bantuan berupa barangan keperluan makanan tetapi terkejut apabila dimaklumkan akan menerima baju raya.

“Hanya terima kasih yang mampu saya ucapkan kepada MPJ dan pihak yang terbabit dalam memberi sumbangan ini, saya amat menghargainya.

“Dengan bantuan ini ia amat meringankan beban dan membantu terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

118
Kongsi :
Previous post Pakaian terpakai, kualiti terjamin
Next post MPJ, rakan strategik kongsi rezeki bersama anak yatim
Ubah saiz-+=