Tabahnya suami ini, urus rumah tangga selepas isteri hilang penglihatan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Feb. – Apabila isteri diuji dengan penyakit kronik yang  menyebabkannya hilang deria penglihatan, suamilah menjadi tempat untuk dia bergantung hidup.

Justeru, kasih sayang suami bukan setakat harus dinilai dengan rezeki untuk keluarga yang diperoleh melalui titik peluhnya, malah pengorbanannya mengambil alih tugas isteri selepas isteri diuji dengan penyakit.

Bagi Zulkifli Jantan, 47, beliau tidak pernah merungut apabila mengambil alih tugas Norhayati Basiron, 40, yang kehilangan deria penglihatan akibat diabetis kronik sejak pertengahan tahun lalu.

Katanya, setiap hari dia melakukan kerja rumah seperti membasuh pakaian, mengemas rumah dan memasak serta memastikan dua anak mereka, Nur Kasih Balqis, 10, dan Mohd Danial Mikail, 12, menjalani kehidupan harian dengan baik.

“Saya hanya menjual kelapa parut dan santan hasil daripada mesin parut dan perah santan yang disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan pada awal tahun lalu.

“Sejak isteri hilang deria penglihatan, sayalah yang membuat semua kerja di rumah,” katanya ketika menerima sumbangan beras dan telur daripada Nor Azman di kediamannya di Kampung Solok Biak, Tanjung Kling, di sini, hari ini.

Norhayati berkata, beliau menghidap penyakit berkenaan sejak berusia awal 20-an dan menjadi kronik sejak empat tahun lalu sebelum menyebabkan deria penglihatannya semakin merosot.

“Lama-kelamaan saya tidak boleh melihat lagi dan terpaksa bergantung kepada suami untuk melakukan kerja di rumah,” katanya.

Beliau berkata, sebelum memulakan perniagaan santan dan kelapa parut, suaminya hanya melakukan kerja kampung untuk menampung perbelanjaan harian.

“Kami amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Datuk Nor Azman kerana membantu kami memulakan perniagaan santan dan kelapa parut,” katanya.

Sementara itu, Nor Azman berkata seramai 50 ketua keluarga di kampung itu dipilih Pengerusi Surau Nur Hidayah di kampung itu, Kamaludeen Mohamed Haneefa, 58, untuk menerima sumbangan.

“Kebanyakan mereka terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana diberikan cuti tanpa gaji oleh majikan berikutan ketiadaan kerja sepanjang PKP,” katanya.

Beliau berkata, meskipun sumbangan itu tidak seberapa,
sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban anggota masyarakat untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, bantuan itu diberikan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada rakyat terputus bahan makanan sepanjang PKP.

Views:

904
Kongsi :
Previous post RM1,000 ‘terbang’ abaikan My Sejahtera
Next post Banyaknya bela pelanduk!
Ubah saiz-+=