RM1,000 ‘terbang’ abaikan My Sejahtera

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 13 Feb. – Gara-gara ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak mendaftar masuk premis perniagaan menggunakan aplikasi My Sejahtera mahupun buku pendaftaran, empat lelaki dikompaun RM1,000 masing-masing, semalam.

Pegawai Turus Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, operasi pematuhan SOP itu dijalankan sempena Tahun Baru Cina di dua premis berasingan iaitu restoran dan kedai runcit di Melaka Tengah.

“Empat lelaki yang dikompaun berusia antara 30 hingga 55 tahun didapati tidak mendaftar butiran peribadi pada aplikasi My Sejahtera sebelum memasuki premis tersebut.

“Dalam operasi itu juga kita turut mengeluarkan kompaun kepada seorang wanita yang tidak memakai pelitup muka dengan alasan tidak selesa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi operasi diadakan seluruh negeri sebanyak 97 rumah ibadat dan 103 kediaman diperiksa membabitkan 515 individu.

Selain itu, sebanyak 13,485 kenderaan diperiksa di 15 sekatan jalan raya membabitkan tiga daerah di negeri ini sehingga semalam.

“Daripada jumlah itu 17 kenderaan diarah untuk berpatah balik disebabkan tiada kebenaran untuk merentas negeri dan memberi alasan tidak munasabah kepada pihak polis.

“Kebanyakan alasan yang diberikan adalah untuk membeli barangan keperluan dan mendapatkan rawatan kesihatan sedangkan perkhidmatan tersebut beroperasi dalam kawasan mereka,” katanya.

Views:

419
Kongsi :
Previous post Tingkat keselamatan PKRC, bendung kejadian tidak diingini- Mohd Redzuan
Next post Tabahnya suami ini, urus rumah tangga selepas isteri hilang penglihatan
Ubah saiz-+=