
JAM LAMA TIDAK DITUNTUT, MAIM BUKA PELUANG UMAT ISLAM SERTAI BIDAAN
PENGKALAN BATU 28 September – Masyarakat Islam berpeluang memiliki jam lama yang dikategorikan sebagai harta luqatah menerusi sesi bidaan anjuran Bahagian Wakaf dan Mal, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), bermula semalam hingga 1 Oktober ini.
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, harta luqatah berkenaan ialah harta tercicir atau hilang daripada pemiliknya yang ditemui orang lain dan diserahkan kepada MAIM, namun tidak dituntut selepas hebahan dibuat selama setahun.
Hasil daripada bidaan berkenaan akan dimasukkan ke dalam tabung Baitulmal untuk digunakan bagi kemaslahatan umat Islam.
Jelas MAIM, sesi bidaan berlangsung dari 9 pagi hingga 4 petang di Bahagian Wakaf dan Mal, Aras Bawah, Pusat Islam Melaka, Jalan Bukit Palah, di sini.
Menurut MAIM, barangan berkenaan dijual tertakluk kepada harga minimum yang ditetapkan, manakala pembida yang menawarkan harga tertinggi akan dianggap sebagai pembida berjaya.
“Pembida yang berminat perlu mengisi borang bidaan yang disediakan oleh Bahagian Wakaf dan Mal, MAIM.
“Semua barangan yang dijual adalah sebagaimana keadaan semasa dilihat dan pembida dinasihatkan meneliti keadaan barangan sebelum membuat bidaan,” menurut kenyataan itu.
MAIM berkata, pembida yang berjaya akan dimaklumkan selepas keputusan dibuat, manakala bayaran penuh perlu dijelaskan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh bidaan.
Orang ramai yang berminat boleh hadir terus ke lokasi sepanjang tempoh bidaan untuk melihat barangan dan mendapatkan borang bidaan yang disediakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

