
60 ‘HERO’ TURUN SUNGAI, JAGA IKON PELANCONGAN MELAKA
DUYONG 29 September – Seramai 60 peserta menelusuri Sungai Melaka sambil mengutip sampah dalam usaha membantu memastikan ikon pelancongan negeri itu terus bersih, indah dan terpelihara.
Menerusi Program Skuad Hero Sungai Melaka Ke-26, peserta menaiki bot menyusuri sungai sambil membersihkan sampah di sepanjang laluan, sekali gus berpeluang menikmati keindahan Sungai Melaka dari sudut berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, penglibatan peserta membuktikan usaha menjaga kebersihan sungai memerlukan kerjasama serta kesedaran semua pihak.
Beliau berkata, aktiviti itu dilaksanakan bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi Melaka River Clean-Up Programme pada 26 September lalu.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menyusuri Sungai Melaka, malah menggalakkan mereka mengambil tanggungjawab secara langsung dalam menjaga kebersihan dan keindahan sungai.
“Penglibatan masyarakat seperti ini penting bagi memastikan Sungai Melaka terus bersih, indah dan selesa untuk dinikmati penduduk serta pelancong,” katanya.
Hadir sama Pengarah Wilayah PNB, S. Balan; Pengurus PNB Cawangan Melaka, Zaini Shariff dan Pengurus PNB Cawangan Seremban, Azlian Idayu Ghazali.

Menurutnya, program berkenaan turut menjadi platform untuk memupuk kesedaran bahawa kelestarian Sungai Melaka bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan peranan bersama masyarakat dan sektor korporat.
“Kerjasama PPSPM dan PNB ini mencerminkan komitmen bersama dalam memelihara Sungai Melaka supaya terus menjadi antara tarikan utama pelancongan negeri.
“Pada masa sama, inisiatif ini diharap dapat menyemarakkan budaya menjaga kebersihan sungai serta menggalakkan lebih banyak pihak tampil bersama-sama memelihara khazanah alam dan warisan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

