TAPEM SASAR BAYARAN BALIK PINJAMAN PENDIDIKAN LEBIH TINGGI TAHUN INI 

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 29 September – Jumlah tunggakan pinjaman Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) berjaya dikurangkan daripada kira-kira RM40 juta pada 2025 kepada RM38 juta setakat ini.

Pengurus Besar TAPEM Abdul Aziz Baba berkata, perkembangan itu adalah hasil pengurusan kutipan balik pinjaman yang lebih berkesan, sekali gus memastikan kelangsungan dana pendidikan negeri untuk terus dimanfaatkan anak Melaka.

Katanya, TAPEM menyasarkan kutipan balik pinjaman antara RM8 juta hingga RM9 juta sepanjang tahun ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh kedudukan dana pendidikan berkenaan.

“Pada 2025, tunggakan kita sekitar RM40 juta dan sekarang sudah dikurangkan kepada lebih kurang RM38 juta.

“Bagi tahun ini, kita menyasarkan kutipan sebanyak RM8 juta hingga RM9 juta,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, antara pendekatan dilaksanakan termasuk melantik pihak luar bagi membantu urusan kutipan balik pinjaman berkenaan, sekali gus mempertingkatkan keberkesanan proses mendapatkan semula bayaran daripada peminjam.

Katanya, usaha memperkemas kutipan balik penting bagi memastikan dana yang dikembalikan dapat disalurkan semula kepada generasi anak Melaka yang memerlukan bantuan pendidikan.

“TAPEM akan terus menambah baik kaedah pengurusan kutipan termasuk mendapatkan kerjasama pihak berkaitan bagi memastikan sasaran kutipan tahun ini dapat dicapai.

“Langkah ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan jumlah tunggakan, malah memastikan dana pendidikan negeri dapat dikekalkan secara mampan bagi menyokong keperluan pendidikan anak Melaka pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post 60 ‘HERO’ TURUN SUNGAI, JAGA IKON PELANCONGAN MELAKA