
PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN MAUT, 4 CEDERA DALAM KEMALANGAN DI BATU BERENDAM
KESIDANG 29 September – Seorang penolong pegawai perubatan maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Mohd Amirul Ikhmal Saifullizam, 32, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Unit Hemodialisis Hospital Melaka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Pemandu kereta jenis Proton Saga iaitu seorang wanita berusia 35 tahun bersama tiga penumpang kanak-kanak masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 pagi ketika motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Sutera Wangi menghala ke Peringgit manakala kereta tersebut dari arah bertentangan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit telah memasuki simpang ke Taman Ikhsan, Batu Berendam.
“Ketika kenderaan itu masuk ke simpang, motosikal yang datang dari arah hadapan ditunggang mangsa gagal mengelak sebelum merempuh bahagian sisi kiri kereta berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan itu turut menyebabkan pemandu Proton Saga serta tiga penumpang kanak-kanak mengalami kecederaan.
“Kesemua mereka dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan dan berada di Zon Hijau.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

