MESRA BINA EKOSISTEM PENDIDIKAN ANAK MELAKA DARI BUAIAN HINGGA GRADUAN – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 29 September – Kerajaan Negeri menerusi inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pendidikan berusaha membentuk ekosistem pendidikan secara menyeluruh buat anak Melaka sejak bayi hingga bergelar graduan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pendekatan itu membolehkan sokongan pendidikan diberikan secara berterusan mengikut fasa perkembangan anak-anak Melaka.

Katanya, antara inisiatif dilaksanakan termasuk pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi bayi baharu lahir di negeri ini, bantuan kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), kemudahan tuisyen percuma serta insentif kepada graduan Ijazah Kelas Pertama.

“Kita mahu memastikan anak-anak Melaka mendapat sokongan pada setiap fasa penting dalam perjalanan pendidikan mereka.

“Matlamat kita bukan sekadar membantu pelajar menghadapi peperiksaan, tetapi membina laluan pendidikan yang berterusan supaya setiap anak Melaka berpeluang mengembangkan potensi dan mencapai kejayaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Kerajaan Negeri mahu melihat peningkatan berterusan dalam pencapaian akademik, akses kepada pendidikan tinggi serta penguasaan kemahiran dalam kalangan anak Melaka.

Tambahnya, agenda pendidikan negeri turut memberi penekanan terhadap penguasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi, kepimpinan dan pembentukan sahsiah bagi memastikan pembangunan modan insan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pendidikan juga merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang, hasilnya mungkin tidak dapat dilihat dalam masa setahun atau dua tahun tetapi akan menentukan kualiti modal insan dan daya saing Melaka pada hadapan dan Kerajaan Negeri mahu memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan pendidikan dan mengembangkan potensi masing-masing.

“Prinsip kita jelas, setiap anak Melaka mempunyai peluang untuk maju dan tidak seharusnya tercicir daripada pendidikan hanya kerana kekangan kewangan keluarga.

“Kejayaan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kemahiran, kepimpinan, akhlak dan keupayaan menyumbang kepada masyarakat.

“Kita mahu melahirkan anak Melaka yang bukan sahaja bijak dalam bilik darjah, tetapi juga cekap bekerja, matang membuat keputusan, mempunyai jati diri dan mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

264
Kongsi :
Previous post SALHAH MAHU KAWASAN LAPANG ‘DIHIJAUKAN’, BERI MANFAAT KEPADA PENDUDUK TAMAN PERUMAHAN