Tak perlu tutup sekolah tapi tambah baik SOP – Dr Akmal

AYER KEROH 3 Feb – “Meskipun positif, pelajar kluster pendidikan ini hanya mengalami gejala ringan. Mereka dikategorikan sebagai pesakit tahap 1 dan 2 saja,” kata EXCO Kesihatan negeri Dr. Muhamad Akmal Salleh.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas mengenai keresahan ibu bapa susulan peningkatan kluster pendidikan aktif di negeri hingga ada yang setuju dengan cadangan penutupan sekolah.

Beliau berkata, keseluruhan pelajar yang positif COVID-19 dalam kluster pendidikan juga sudah lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Di Melaka, secara keseluruhan kita hanya merekodkan sebanyak 10.5 peratus pesakit COVID-19 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala pesakit ditempatkan di hospital hanya 21.7 peratus.

“Seramai 94.2 peratus remaja di negeri ini sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin. Penutupan sekolah secara keseluruhan tidak perlu.

“Apa yang penting di sekolah perlu tingkatkan lagi prosedur operasi standard (SOP), takkanlah kita tak nak buka lagi sektor pendidikan ini sampai bila-bila,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau mencadangkan pekerja, guru dan kontraktor ingin memasuki kawasan sekolah menjalani ujian kendiri setiap hari sebagai usaha memutuskan rantaian COVID-19.

“Cadangan ini juga termasuk tukang kebun dan pekerja kantin kerana mereka ini tinggal di luar, tapi berada dalam kawasan sekolah setiap hari.

“Jadi faktor kebolehjangkitan itu agak tinggi jika mereka berhubung dengan pelajar yang sebelum ini akan menjalani ujian sama sebelum memasuki asrama,” katanya.

Menurutnya, peningkatan kes positif COVID-19 tidak seharusnya menjadi ukuran dalam negara yang akan beransur kepada fasa endemik tidak lama lagi.

“Kalau nak beralih ke fasa endemik, perkara ini kita mesti terima dan tidak boleh memandang nilai kes positif COVID-19 namun kena lihat berapa jumlah tahap pesakit yang serius, itu lebih penting.

“Kalau kita nak menuju ke arah sifar COVID-19 itu memang perkara yang sukar kerana ia boleh dicapai dalam tempoh 10 hingga 20 tahun.

“Seperti penyakit Influenza menyebabkan jutaan penduduk dunia maut pada 1918, mengambil masa yang lama sehingga hari ini dan telah diimunisasi dalam badan kita disebabkan vaksin.

“Hari ini mereka yang menghidap Influenza hanya mengalami simptom selesema dan batuk sahaja,” katanya.

Dr. Muhamad Akmal berkata, orang ramai perlu bersedia untuk hidup dalam suasana COVID-19, jika ingin beralih ke fasa berikutnya rakyat perlu sedar dan jauhkan stigma terhadap pengambilan vaksin serta penggalak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

279
Previous post Angkara guna perkataan Halal, melayang RM10,000
Next post RM30,000 melayang, simpan barang kawalan ditempat tidak dilesenkan