Taktik jual daging ‘frozen’ pada harga daging segar

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

BACHANG 23 April. – Taktik licik segelintir peniaga untuk menaikkan harga dengan menjual daging sejuk beku yang dilembutkan sebagai daging segar terbongkar hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, di Pasar Besar Melaka, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata, sehubungan itu pihaknya memberi amaran kepada peniaga daging di negeri ini supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

ISMAIL, Norena melihat telur ayam yang dikategorikan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021 pada walkabout tersebut.

Menurutnya, pemantauan oleh penguat kuasa KPDNHEP negeri di pasar itu mendapati penjual terbabit menaikkan harga daging kerbau sejuk beku dari RM20 kepada RM22 sekilogram.

“Alasan peniaga ini naikkan harga sebab dia kata daging sejuk beku itu sudah dilembutkan, jadi dia ambil kesempatan letak harga RM22 sekilogram.

“Sepatutya, harga daging sejuk beku lebih murah daripada yang segar, jadi dia guna alasan sudah melembutkan daging dan dia letakkan harga RM22.

“Kita sudah bagi amaran hari ini kalau esok atau lusa ada lagi (aduan) kompaun akan dikenakan,” katanya pada sidang media selepas mengikuti Walkabout KPDNHEP Melaka sempena SHMMP Hari Raya Puasa di Pasar Besar Awam Melaka, hari ini.

AYAM standard ditetapkan RM7.90 sekilogram sepanjang SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar.

Sementara itu Norena berkata, tiada alasan tidak tahu bagi mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan keperluan kerana SHMMP sudah dimaklumkan sejak awal.

Katanya, terdapat peniaga memberi alasan menaikkan harga jualan termasuk ayam standard kerana kononnya mengambil bahan mentah itu daripada dua peringkat pemborong.

Katanya, peniaga perlu bijak memilih pemborong bagi memastikan bekalan diperoleh pada harga rendah.

“Ada penjual ayam beri alasan terpaksa naikkan harga sebab dia mendapatkan bekalan daripada pemborong atas pemborong dan juga faktor sudah kenal lama pemborong.

“Misalnya pemborong pertama jual pada harga RM7.10, dan apabila sampai kepada pemborong kedua harga akan bertambah, jadi penjual kata dia tidak boleh jual harga RM7.90 sebab dia ambil harga mahal jadi tidak untung.

“Mereka sepatutnya boleh memilih bagi mendapatkan bekalan lebih murah daripada peladang atau pemborong lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga Pasar Besar Awam Melaka supaya meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan masyarakat yang membeli barangan sepanjang SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2138
Kongsi :
Previous post ‘Iftar romantik’ Sungai Melaka
Next post Setahun jadi hamba seks tiga abang dan bapa kandung
Ubah saiz-+=