Tali putus, perahu tenggelam

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Mei – Ombak besar dan angin kencang awal pagi ini menyebabkan perahu gentian kaca seorang nelayan di Pangkalan Nelayan Sungai Lereh, Tanjung Kling di sini tenggelam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Husen Wahab, 52, mengalami kerugian lebih RM2,000 selepas enjin 15 kuasa kuda dimasuki air akibat bahagian belakang perahunya tenggelam selepas tali yang diikat pada tiang terputus.

Husen berkata, angin kencang berlaku mulai jam 5 pagi tadi, iaitu kira-kira dua jam sebelum dia tiba di Pangkalan Nelayan Sungai Lereh untuk turun ke laut.

HUSEN menimba air dari perahunya yang tenggelam di Pangkalan Nelayan Kampung Sungai Lereh, Tanjung Kling.

Dia berkata, dia berhasrat menjaring ikan selangat di pinggir pantai Tanjung Kling tetapi terkejut apabila mendapati perahu yang diikat pada tiang sudah tenggelam.

“Saya dan seorang rakan segera menimba air keluar dari perahu untuk menaikkannya kira-kira sejam dan menyelamatkannya daripada tenggelam ke dasar sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Husen berkata, angin selatan yang bertiup kencang menyebabkan ombak naik setinggi kira-kira 0.3 meter, sekali gus mengakibatkan tali berkenaan putus.

Namun, dia bernasib baik kerana tali di bahagian haluan perahu yang diikat pada tiang tidak terputus.

Katanya, dia kemudian membuat permohonan kepada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan untuk bantuan kewangan bagi menjalankan kerja pembaikan enjin.

Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau membiayai pembaikan enjin itu bagi membolehkan Husen meneruskan mencari rezeki di laut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

976
Kongsi :
Previous post Saringan COVID-19: Dakwaan 200 penduduk Kampung Pauh Lima lari, palsu
Next post Polis siasat dakwaan Neelofa tidak pakai pelitup muka ke mahkamah
Ubah saiz-+=