Taman nanas Kuala Linggi

Masa Membaca:2 Minit, 44 Saat

KUALA LINGGI 18 Mei – Melaksanakan tugas sebagai satu pasukan dan saling memahami membuatkan segala perancangan pasangan ini yang mengusahakan ladang nanas jenis MD2 seluas 17 hektar di Nusa Dusun, Kuala Linggi, di sini, menjadi hingga membawa pulangan besar kepada mereka.

Selepas lima tahun pasangan romantik ini sudah boleh berbangga dengan produk keluaran mereka dipasarkan menggunakan jenama Fionanas yang turut mendapat permintaan di negara Timur Tengah, Jepun, Hong Kong dan pasaran tempatan.

Apa yang membanggakan ladang Fionanas kini menjadi pengeluar utama buah nanas di Negeri Melaka dan pasangan ini berhasrat untuk meningkatkan lagi jumlah itu dalam tempoh terdekat.

Kisah kejayaan mereka bermula 20 tahun lalu selepas Iskandar Zulkarnain, 42, bersama isteri, Fiona Tahir, 40, mengambil keputusan untuk membeli lot tanah di Nusa Dusun, sebagai pelaburan hari tua mereka.

Namun pembabitan serius mereka dalam bidang agromakanan bermula lima tahun lalu selepas pasangan ini menanam nanas MD2 sebagai percubaan di tapak seluas 0.4 hektar.

nanas 1
LADANG nanas di Nusa Dusun, Kuala Linggi merupakan antara yang terbesar di Melaka.

Pada mulanya mereka panik selepas berdepan kesukaran untuk memasarkan produk berkenaan berikutan kurang persediaan dan pengalaman dalam bidang pertanian.

“Sekarang ini saya dibantu 11 pekerja menguruskan hal di ladang, sementara itu isteri pula aktif merangka pelan pemasaran. Alhamdulillah berkat kerja berpasukan sebagai suami isteri semuanya berjalan lancar, namun dalam apa juga perniagaan pasti ada dugaan.

“Paling memberikan kesan kepada kami adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun kami tidak putus asa dan bangkit semula, sekarang setiap bulan kami menuai 16 hingga 20 tan nanas MD2 dengan nilai jualan RM40,000 ke RM80,000.

“Paling penting bagi saya adalah menjaga kualiti buah, kami bukan sekadar berniaga tetapi mahu pelanggan menikmati produk memiliki rasa yang lain daripada pengeluar tempatan yang ada,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Iskandar memanfaatkan peluang yang ada dengan memajak lot tanah kebun kosong di Nusa Dusun untuk membesarkan lagi perusahaan nanas dijalankan.

nanas 4
ISKANDAR melakukan kaedah pengasingan kualiti nanas sebelum dipasarkan.

Katanya bagi menjaga kualiti dan rasa buah dia melakukan kajian sendiri membabitkan aspek penjagaan pokok dan ladang pemilihan baja dengan sukatan yang betul dan tapak kebun yang sesuai berdasarkan pengalamannya.

“Kami memang bermula daripada kosong dan banyak perkara yang telah kami pelajari akhirnya membuahkan hasil sehinggakan produk yang kami hasilkan tidak menang tangan untuk dipasarkan di sekitar selatan tanah air,” katanya.

Sementara itu, Fiona berkata kehidupan suami isteri perlu saling melengkapi menjadi pegangan mereka hingga berjaya melebarkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Fiona berkata, dalam bidang pertanian setiap pengusaha perlu kreafif menghasilkan produk hiliran seiring dengan peredaran zaman dan permintaan pelanggan.

nanas 6
ANTARA produk inovasi berasaskan nanas yang diusahakan pasangan ini.

Menurutnya, selain menawarkan nanas mereka turut memasarkan pelbagai produk yang dihasilkan berasaskan buah tropika itu.

“Pelbagai produk inovasi dihasilkan daripada hasil nanas di ladang kami, antaranya jus pati nanas, minuman nanas berpengawet, kopi dan teh campuran nanas, sambal nanas serta lilin nanas.

“Bagi mencari kelainan kami gunakan konsep ladang dalam taman, jadi kepada mereka yang mahu bercuti dalam suasana kampung boleh datang ke sini.

“Ini sekali gus membuka peluang kepada sektor agro pelancongan di Melaka untuk mendidik pelancong mengenai pertanian nanas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2161
Kongsi :
Previous post Pusat tahfiz mesra warga emas di Asahan
Next post MAQIS P. Pinang rampas tikus salai dibawa masuk dari Vietnam
Ubah saiz-+=