
TAMBAHAN HADIAH, INSENTIF JADI ‘OBOR’ SEMANGAT NYALAKAN PRINSIP RUKUN NEGARA
AYER KEROH 11 September – Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka yang memasuki edisi keenam tahun ini lebih istimewa apabila bukan sahaja menyaksikan lonjakan bilangan peserta, bahkan tawaran hadiah dalam lima kategori turut dipertingkatkan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus menjadi bukti penghargaan Kerajaan Negeri terhadap bakat, iltizam dan keberanian para peserta, selain menjadi pemangkin semangat juang serta mencetuskan persaingan sihat dalam mengangkat suara patriotisme ke pentas tertinggi.
Bukan itu sahaja, beliau memaklumkan, buat julung kalinya, Kementerian Perpaduan Negara telah memperkenalkan geran penghargaan bernilai RM1,000 kepada Kelab Rukun Negara sekolah rendah dan menengah serta Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi (IPT) yang berjaya melahirkan juara.
Malah, ujar Ab Rauf, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan insentif RM1,000 kepada institusi pendidikan yang mencatatkan penyertaan tertinggi bagi setiap kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT.
“Saya amat berharap, insentif ini bukan sekadar tanda penghargaan, tetapi menjadi obor semangat kepada pewaris bangsa agar prinsip Rukun Negara terus hidup dalam denyut nadi rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Pertandingan akhir itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak Profesor Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Ketua Menteri turut berkongsi kisah menyentuh jiwa, di mana pada pentas akhir pidato kali ini telah menampilkan seorang pemidato istimewa iaitu Cikgu Dalila dari Sekolah Kebangsaan Cherana Puteh yang hadir berkerusi roda akibat kemalangan, namun tetap tampil dengan penuh semangat.
“Kisah beliau bukan hanya sebuah catatan peribadi, tetapi menjadi lambang keberanian luar biasa serta teladan buat kita semua bahawa keterbatasan fizikal bukan alasan untuk tunduk pada halangan.
“Inilah jiwa merdeka yang menjadi roh kepada prinsip Rukun Negara,” tambahnya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.