Tapak pelupusan sampah Sungai Burung terbakar: 86 keluarga dipindah ke dua PPS

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

NIBONG TEBAL, 16 Jan – Seramai 400 penduduk daripada 86 keluarga yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihat berpindah buat sementara susulan insiden kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dekat Nibong Tebal pada Rabu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh berkata dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan Saujana Indah dan Sekolah Kebangsaan Bakap Indah akan dibuka untuk penduduk terbabit setelah berbincang dengan agensi berkaitan pada 2 petang tadi.

“Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri telah melakukan lawatan di tapak kebakaran seterusnya memberi taklimat kepada agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), Angkatan Pertahanan Awam, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan untuk melaksanakan urusan pemindahan penduduk terjejas dan bantuan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya sedang meneliti dan mengenal pasti bilangan penduduk terjejas untuk dimasukkan ke dalam senarai bagi memudahkan urusan pemindahan dan bantuan.

“Kita ambil kira segala prosedur operasi standard agar dapat dilaksana dengan teratur supaya semua penduduk terlibat termasuk tempat tinggal mereka kekal selamat dan pihak KKM juga akan membuat saringan terlebih dahulu sebelum penduduk memasuki PPS bagi mengelak sebarang penularan COVID-19 dalam kalangan mereka.

“Kita juga hanya benarkan satu atau dua orang lelaki dewasa (bagi sebuah keluarga) yang ingin menjaga rumah kerana khuatir akan keselamatan rumah dan mereka perlu buat laporan kepada pihak polis setiap kali keluar masuk di kawasan rumah yang diklasifikasikan sebagai kawasan larangan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan Marlia Mohd Belia pula berkata JAS telah melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru selain menempatkan stesen pengawasan kualiti mudah alih di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram.

“JAS akan terus membuat pemantauan kualiti udara dari semasa ke semasa dan orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi nasihat kesihatan antaranya mengurangkan aktiviti luar, mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas serta tidak sihat dan sentiasa memakai pelitup muka jika berada di luar,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Tapak pelupusan sampah itu dilaporkan terbakar pada kira-kira 5 petang Rabu lepas dan tindakan awal JBPM dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela telah membuat penghalang kebakaran bagi mengelakkan api terus merebak.

Tapak pelupusan yang terjejas adalah seluas 6.5 hektar daripada 16.2 hektar dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1022
Kongsi :
Previous post Thaipusam : Individu ingin terbangkan dron perlu kebenaran CAAM – Bukit Aman
Next post PM beri komitmen bantu Rohana
Ubah saiz-+=