Tazkirah santai, sambil nikmati panorama Bandaraya Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Mac – Menara Taming Sari Berhad (MTSB) membuka tawaran istimewa kepada mana-mana pihak atau pengunjung berminat untuk bersama-sama menyertai Tazkirah Santai di Menara Taming Sari sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTSB, Nasrul Ahmad berkata, tawaran istimewa itu antara usaha pihaknya untuk mengimarahkan Ramadan dengan menganjurkan majlis ilmu dalam suasana santai di menara ikonik berkenaan.

“Program ini adalah julung kali diadakan, tazkirah pendek disampaikan pada ketinggian 80 meter, ini adalah inisiatif MTSB sepanjang ramadan, tawaran ini amat sesuai untuk pelajar pusat tahfiz, pihak masjid, pusat tahfiz atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Jika kita lihat sebelum ini tazkirah subuh atau Dhuha hanya dibuat di masjid atau surau, tetapi kali ini kita mencari kelainan dengan menganjurkan majlis ilmu di atas menara yang pastinya akan memberi satu suasana berbeza.

“Sebelum ini pengunjung hanya menikmati pemandangan sekitar Bandaraya Melaka selama tujuh minit sahaja tetapi menerusi tawaran Ramadan, tazkirah akan berlangsung selama 20 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengikuti Tazkirah Santai di Menara Taming Sari yang bertajuk ‘Di Langit Melaka, Ku Temui Damai Yang Hilang’ yang disampaikan Pengerusi Serantau Muslim Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor.

Menurut Nasrul, mengikut perancangan Tazkirah Santai Di Menara Taming Sari itu dijadualkan akan berlangsung pada setiap pagi Jumaat, namun sekiranya ia mendapat permintaan menggalakkan, ketetapan itu dapat disesuaikan dengan kehendak penganjur.

“Setakat ini sudah ada dua tempahan, tajuk tazkirah akan disampaikan juga berbeza pada setiap sesi yang mana ianya terlebih dahulu akan dirujuk kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya.

Jelasnya, program ini juga adalah bersempena dengan bulan keagamaan dalam kalendar Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Terdahulu, turut diadakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena menyambut Ramadan selain diagihkan juga sumbangan kit makanan kepada warga kerja MTSB.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

915
Kongsi :
Previous post Pemandu lori didakwa bunuh teman wanita warga Thailand
Next post Remaja maut dalam perjalanan ke rumah nenek
Ubah saiz-+=