Tempahan slot kuarantin pekerja asing dibuka – Saravanan

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

PUTRAJAYA, 2 Mac – Majikan boleh membuat tempahan slot kuarantin bagi pekerja asing yang dijangka masuk ke dalam negara mulai bulan ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata tempahan boleh dibuat setelah pekerja asing lulus pemeriksaan kesihatan dan dikeluarkan Visa Dengan Rujukan (VDR) menerusi platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di https://fwcms.com.my/.

VDR merujuk kepada visa yang dikeluarkan Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara kepada seseorang yang bukan warganegara, bagi membolehkan individu berkenaan masuk ke Malaysia selepas visa diluluskan oleh ibu pejabat Jabatan Imigresen.

Saravanan berkata lokasi pusat kuarantin adalah terhad dan berada di sekitar Lembah Klang merangkumi hotel seperti yang terdapat dalam senarai pusat kuarantin swasta yang telah diluluskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Anggaran kos kuarantin adalah antara RM2,000 dan RM3,000 merangkumi penyediaan penginapan, makan minum (tiga kali sehari), pengangkutan ke pusat kuarantin serta ujian saringan COVID-19 semasa dalam tempoh kuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya setakat semalam 171,133 permohonan penggajian pekerja asing telah diterima sejak ia dibuka bermula 15 Feb lepas melibatkan sektor perkilangan (118,967), perkhidmatan (21,040), perladangan (15,787), pembinaan (12,252) serta pertanian (3,087).

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Dis lepas telah bersetuju untuk pengambilan pekerja warga asing dalam sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

886
Kongsi :
Previous post Kempen PRN Johor boleh diadakan hingga 12 tengah malam – SPR
Next post DUN Melaka luluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri
Ubah saiz-+=