DUN Melaka luluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 2 Mac – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bersetuju meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (Pindaan 2021) selepas hampir dua dekad.

Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (Pindaan 2002) itu dilihat mampu memperkasa pentadbiran Islam kearah  lebih cekap dan lancar selaras pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.

Enakmen itu diluluskan dengan sokongan sepenuhnya daripada seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir dengan kiraan 25 ADUN menyokong manakala tiga tidak hadir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pindaan rang undang-undang itu bertujuan memperkukuhkan lagi pelaksanaan hukum syarak, pentadbiran Mufti negeri, baitulmal, zakat dan pengurusan masjid.

Beliau berkata, Melaka perlu bergerak seiring negeri-negeri lain seperti Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu dalam memperkasa pentadbiran agama Islam.

“Sesungguhnya manhaj Ahli Sunnah Waljamaah bersifat wasatiyyah iaitu sederhana, hidup dalam perpaduan dan berkasih sayang.

“Ini akan memastikan umat Islam berpegang kepada ajaran Islam sebenar berpandukan al-Quran dan imtiyaz para ulama sekali gus menyekat daripada fahaman ajaran sesat serta ekstremis.

“Pelaksanaan ini bukan saja membabitkan pentadbiran Islam sebaliknya bersifat inklusif kerana turut memberi fokus kepada pembangunan pendidikan, zakat dan wakaf,” katanya.

Sementara itu, Tuminah Kadi (BN-PANTAI KUNDOR) ketika perbahasan menyambut baik perkara itu dan menyifatkan pindaan enakmen mampu mempertingkatkan kualiti pengurusan zakat di negeri ini.

“Pembangunan asnaf perlu diperkasa dan mengangkat mereka untuk keluar daripada garis kemiskinan.

“Enakmen ini mampu menjadikan pengurusan dan pengagihan zakat bersifat lebih inklusif,” katanya.

Manakala Ketua Pembangkang, Adly Zahari berkata, enakmen itu akan memperkasakan pentadbiran Islam yang perlu menjauhi nilai assabiah, rasuah dan kezaliman.

“Kerajaan negeri perlu memperjuangkan nilai Islam yang mengambil kira perjuangan nilai politik yang baik.

“Perubahan ini juga akan mempertingkatkan nilai ketuhanan kita daripada pelbagai masalah yang akan menaikkan kemarahan rakyat,” katanya.

Terdahulu, usul yang dibentangkan dipersetujui semua ADUN selepas dibaca sebanyak tiga kali dengan 17 fasal termaktub dalam perlembagaan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1474
Kongsi :
Previous post Tempahan slot kuarantin pekerja asing dibuka – Saravanan
Next post ‘Saya tidak akan lupa saya datang dari Benut’, kata Hasni
Ubah saiz-+=