Ternakan babi di Paya Mengkuang dilarang dibawa keluar

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

MASJID TANAH 25 Nov – Sebanyak 41,913 ekor babi yang diternak di 35 buah ladang babi di Paya Mengkuang sini dilarang dibawa keluar dari kawasan itu.

Ia bagi mengelakkan penularan penyakit African Swine Fever (ASF) yang dikesan pada ternakan 20 Dis lalu.

Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kesemua 26 penternak di kawasan itu telah diberi notis di bawah Seksyen 18(2) Akta Binatang 1953 (Akta 647) berhubung arahan tersebut.

Menurutnya, di bawah notis itu tidak membenarkan ternakan keluar daripada kawasan tersebut.

“Ia bertujuan bagi membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjalankan pemeriksaan dan ujian penyakit ke atas ternakan yang berkuatkuasa mulai 20 Dis lalu.

“Pada masa yang sama, jabatan terbabit juga sedang dalam usaha membendung, mengawal dan membasmi rebakan penyakit ASF, ” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Pengesanan penyakit itu setelah DVS negeri menjalankan bedah siasat sampel babi yang mati di Makmal Veterinar Zon Tengah, Salak Tinggi pada 18 Disember lalu.

Seminggu selepas itu, keputusan makmal mendapati kematian babi tersebut telah disahkan positif penyakit ASF.

Menurut Ahmad, ladang yang telah disahkan positif penyakit ASF, tindakan memusnahkan semua ternakan akan diambil oleh jabatan terlibat.

Bagi ladang lain, katanya, ternakan yang bebas dan sihat dari penyakit itu dibenarkan disembelih di rumah sembelih Paya Mengkuang setelah pemeriksaan dilakukan.

“Daging babi tersebut hanya dibenarkan untuk kegunaan negeri Melaka sahaja, tiada karkas dibenarkan keluar ke negeri lain.

“Penyiasatan dan pemantauan lanjut di kawasan Paya Mengkuang sedang dijalankan bagi mengekang rebakan ASF, ” katanya

Katanya, setakat semalam, pihaknya mengesan tujuh ladang disahkan positif penyakit ASF dengan jumlah populasi sebanyak 5,438 ekor.

Selain itu menurut Ahmad, orang ramai diminta tidak panik berhubung insiden yang berlaku memandangkan penyakit ASF tidak zoonotik (tidak berjangkit kepada manusia).

“Ianya hanya boleh menjangkiti babi yang diternak atau babi hutan. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak panik,” katanya.

Orang awam diminta untuk memasak babi pada suhu tinggi (melebihi 80oC) dalam tempoh yang lama (melebihi 20 minit) untk mematikan virus.

Pihak DVS juga meminta kerjasama orang ramai agar melaporkan segera sebarang kematian pada babi hutan kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1983
Kongsi :
Previous post Bekalan elektrik di 706 kawasan di empat negeri pulih
Next post Sebanyak 6,000 ekor babi akan dihapus, elak penularan demam babi
Ubah saiz-+=