Teroka produk pelancongan di Alor Gajah dan Jasin – KM

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER LIMAU 3 November – Pembangunan kawasan eko pelancongan di Paya Lebar, Ayer Limau antara usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan limpahan ekonomi dinikmati dan dikongsi oleh seluruh rakyat Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri utama Sulaiman Md Ali berkata, menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar penduduk di daerah Alor Gajah dan Jasin turut menikmati faedah daripada kepesatan sektor pelancongan yang ketika ini dilihat lebih terarah kepada Melaka Tengah.

Beliau berkata, dengan kos RM2.063 juta projek eko pelancongan di Paya Lebar membabitkan pembinaan kemudahan bakal menjadi tarikan baharu seperti laluan pejalan kaki sepanjang 100 meter dan dataran di Pangkalan Nelayan Paya Lebar, selain pembinaan jeti di Sabak Arang serta Taman Lokan.

“Dengan adanya pembinaan projek eko pelancongan ini, diharapkan ianya dapat memberi kemudahan infrastruktur yang lengkap dan selamat kepada pengguna serta meningkatkan lagi jumlah pelancong, sekali gus menjana pendapatan lumayan kepada komuniti menerusi kepelbagaian aktiviti di kawasan ini.

“Eko pelancongan adalah satu bidang mempunyai potensi perkembangan yang paling besar dalam agenda pembangunan ekonomi Negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Lawatan Pemantauan Projek Negeri Oleh YAB Ketua Menteri dan Program Komuniti Perikanan DUN Ayer Limau Bersama Pejabat Perikanan Negeri Melaka di Pangkalan Nelayan Paya Lebar, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh dan Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

photo_2022-11-03_15-53-59
Anak udang galah yang akan dilepaskan di Sungai Paya Lebar pada Lawatan Pemantauan Projek Negeri oleh Ketua Menteri Melaka dan Program Komuniti Perikanan DUN Ayer Limau bersama Pejabat Perikanan Negeri Melaka di Pangkalan Nelayan Paya Lebar, Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

Terdahulu pada program sama, Sulaiman turut menyempurnakan pelepasan 100,000 benih udang galah ke Sungai Paya Lebar, meluangkan masa memantau perkembangan projek, menyampaikan lesen khas sampan kepada sembilan penerima dan menyerahkan kit makanan sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta Majlis Perbandanran Alor Gajah.

“Saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana menyalurkan peruntukan kepada Kerajaan Negeri untuk pembinaan projek eko pelancongan di Paya lebar.

“Begitu juga kepada MAFI(Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang menjayakan program hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2139
Kongsi :
Previous post Eko pelancongan bahagiakan orang Ayer Limau – KM
Next post 318 projek dilaksanakan di Masjid Tanah tahun lalu
Ubah saiz-+=