Tiada cadangan pinda perlembagaan UMNO – Isham

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Jan – UMNO tidak bercadang untuk meminda perlembagaan parti itu supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, kata Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil.

Beliau berkata meskipun semalam seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan solidariti agar jawatan presiden, yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO kelak, ia tidak bermaksud parti itu menghalang sesiapa daripada bertanding.

“Kalau 140 daripada 189 (ketua bahagian) sudah lebih daripada dua per tiga ketua-ketua bahagian UMNO mencadangkan supaya dua jawatan ini tidak dicabar. Dan saya nak jelaskan juga, ini tidak bermaksud kita halang sesiapa nak bertanding.

“Saya dah cakap saya dengan Datuk Seri Ahmad Maslan dah buat kenyataan banyak kali, kita tiada apa-apa cadangan untuk meminda perlembagaan supaya jawatan ini tidak dipertandingkan,” katanya pada sidang media ketika melawat laman media Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini hari ini.

Terdapat 191 bahagian UMNO di seluruh negara kecuali Sarawak dan dua daripadanya iaitu Arau dan Tanah Merah digantung.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah yang mewakili ketua-ketua bahagian itu berkata mereka turut bersepakat supaya jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

Mohd Shafie berkata tumpuan parti itu ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti di pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan tahun ini.

Sementara itu, Isham mencadangkan supaya sesiapa yang ingin bertanding jawatan tertinggi berkenaan, termasuk naib presiden, agar mengumumkan niat mereka lebih awal.

“Tak perlu nak sorok-sorok dan saya ingat platform ini, Perhimpunan Agung UMNO, dah semua perwakilan ada dekat sini, jadi pada saya umumlah siapa nak bertanding jawatan presiden, timbalan presiden, lagi awal lagi bagus, pada saya,” katanya.

Pemilihan semua peringkat UMNO yang ditangguhkan sebelum ini dijangka diadakan sebelum 19 Mei ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1301
Kongsi :
Previous post Penjawat awam Melaka diminta terus komited, berintegriti – SUK
Next post COVID-19: Kes masih terkawal, tidak perlu hingga tutup sempadan – Dr Zaliha
Ubah saiz-+=