Penjawat awam Melaka diminta terus komited, berintegriti – SUK

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 12 Januari -Semua penjawat awam di negeri ini diminta lebih komited dan berintegriti dalam melaksanakan tugasan sepanjang tahun 2023.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari berkata, kesemua lebih 5,000 penjawat awam Negeri Melaka perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam apa jua tugasan yang diberi.

Katanya, ia sekali gus dapat meningkatkan produktiviti, selain mengurangkan aduan yang diterima daripada orang awam.

“Pada saya, semua penjawat awam Negeri Melaka memang memberi komitmen lebih dari sepatutnya, namun dari segi pengurusan, saya yakin kita mampu dan semua penjawat awam boleh tingkatkan hasilnya.

“Manakala dari segi aduan awam, kita mahu tahun 2023, kurangkan aduan awam dan kita kena ambil peduli apa sahaja aduan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar Cukai Tanah 2022 di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pendaftar Hakmilik Pejabat Tanah dan Galian Mohamad Samsi Kamarudin; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Saiful Hazwa Kipli dan Pegawai Daerah Jasin, Rahizi Ranom.

Zaidi berkata, untuk tahun 2023, beliau meletakkan sasaran 95 peratus pembayar cukai menunaikan tanggungjawab masing-masing dan pada masa sama jumlah tunggakan juga disasar menurun sehingga 50 peratus.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam untuk menjelaskan cukai semasa yang tertunggak sebelum 28 Februari ini dengan diskaun yang diberikan oleh Kerajaan Negeri sehingga 30 peratus.

“Sepanjang beberapa tahun kita adakan kempen membayar cukai ini, saya berpuas hati kerana setiap tahun pasti akan ada peningkatan, menerusi pelbagai kaedah baharu yang digunakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1276
Kongsi :
Previous post 367,692 rakyat Melaka bayar cukai tanah
Next post Tiada cadangan pinda perlembagaan UMNO – Isham
Ubah saiz-+=