367,692 rakyat Melaka bayar cukai tanah

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 12 Januari – Kerajaan Negeri menerusi Pentadbiran Tanah telah mengutip cukai tanah berjumlah RM93 juta daripada 367,629 pembayar cukai, sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Wira Zaidi Johari berkata, jumlah itu bersamaan dengan 90 peratus bagi cukai semasa dan 57 peratus bagi tunggakan cukai tanah.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM6.28 juta telah dibayar melalui 42,334 transaksi menggunakan perkhidmatan JomPay yang diperkenalkan Mac tahun lalu untuk membayar cukai.

“Kerajaan Negeri sentiasa optimis dalam menyokong usaha-usaha bagi memudahkan orang awam yang membuat pembayaran cukai tanah.

“Selain itu bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus, kerajaan juga telah perkenalkan sistem bil cukai tanah dalam talian secara e-bil, di mana pendekatan ini dapat menjimatkan kos percetakan bil cukai sebanyak RM 600,000.

“Inovasi ini dilihat mampu memudahkan pemilik tanah dan tiada lagi alasan membayar cukai tanah kerana tidak menerima bil kerana bil kini boleh dimuat turut secara layan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar Cukai Tanah dan Menang Tahun 2022 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pendaftar Hakmilik Pejabat Tanah dan Galian Mohamad Samsi Kamarudin; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Saiful Hazwa Kipli dan Pegawai Daerah Jasin, Rahizi Ranom.

Menerusi majlis itu, Zakaria Amin merupakan pemenang cabutan kategori ‘Hadiah Utama’ sebuah kereta Perodua Axia dan 17 pemenang hadiah lain berupa skuter elektrik, telefon pintar dan pelbagai lagi.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata orang awam kini boleh mendapatkan bil cukai tanah masing-masing menerusi portal PTG (Pejabat Tanah dan Galian) dengan hanya menggunakan nombor kad pengenalan sahaja.

“Bagi yang masih belum membayar cukai tanah, bolehlah berbuat demikian kerana Kerajaan Negeri telah meluluskan diskaun 30 peratus ke atas tunggakan cukai tanah sehingga 28 Februari 2023.

“Dan tahniah kepada semua pembayar cukai yang memenangi hadiah termasuk pemenang hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia dan pelbagai hadiah lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2601
Kongsi :
Previous post KPDN fokus banteras aktiviti kartel
Next post Penjawat awam Melaka diminta terus komited, berintegriti – SUK
Ubah saiz-+=