
PPSPM GANDA TARIKAN MELAKA RIVER CRUISE, ADD-ON SERENDAH RM5
DUYONG 30 Oktober – Pengalaman menelusuri Sungai Melaka menerusi Melaka River Cruise kini lebih menarik apabila pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai produk tambahan pada harga promosi serendah RM5 menerusi inisiatif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
Tawaran itu merangkumi cenderamata eksklusif Melaka River Cruise, minuman serta pakaian bertemakan Melaka, sekali gus memberi peluang kepada pelancong membawa pulang kenangan selepas menikmati pelayaran di sungai bersejarah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan bagi menambah nilai pengalaman pengunjung, selain menawarkan pilihan produk pada harga yang berpatutan.
“Antara pilihan yang ditawarkan ialah barangan cenderamata Melaka River Cruise pada harga serendah RM5, air kelapa pandan RM7 serta minuman ZUS Coffee pada harga RM10.
“Pengunjung juga boleh mendapatkan T-shirt ‘Aku Budak Melaka’ pada harga serendah RM25 sebagai cenderamata selepas menikmati pengalaman pelayaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, proses mendapatkan tawaran itu mudah kerana pengunjung hanya perlu membeli tiket Melaka River Cruise di kaunter dan memilih produk tambahan atau ‘add-on’ yang dikehendaki ketika membuat pembelian.
Beliau berkata, tawaran berkenaan memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung untuk menikmati pelayaran sambil mendapatkan minuman atau cenderamata tanpa perlu berbelanja besar.
Bagaimanapun, katanya, minuman ZUS Coffee hanya ditawarkan di Jeti Muara Sungai, manakala pembelian produk tambahan tertakluk kepada ketersediaan stok.
Orang ramai yang merancang kunjungan ke Melaka boleh mengambil peluang menikmati tawaran berkenaan sebagai pelengkap pengalaman menaiki Melaka River Cruise, antara tarikan pelancongan popular negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


