
MAIM BANTU ‘A TO Z’, USAHAWAN SATE MENGORAK LANGKAH
AYER KEROH 30 Oktober – Bermula dengan menjual sate pada harga RM1 sebatang, seorang usahawan membuktikan perniagaan kecil mampu berkembang apabila mendapat sokongan dan bimbingan sewajarnya menerusi bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Usahawan, Nur Amirah Samat, 29, berkata perniagaan sate menggunakan resipi turun-temurun daripada ibu mentuanya itu mula diusahakan pada 2017, sebelum mengalami kemerosotan selepas pandemik COVID-19 melanda.
Bagaimanapun, dia kembali mengembangkan perniagaan berkenaan pada 2023 selepas menerima bantuan permulaan perniagaan sebanyak RM2,000 daripada MAIM yang digunakan untuk membeli generator dan dapur gas bagi melancarkan operasi di Bukit Beruang.
Menurutnya, sokongan itu diteruskan menerusi penerimaan geran RM15,000 melalui program Tunas Perintis Usahawan pada 2024, sekali gus membolehkannya memperkukuh operasi serta meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Katanya, bantuan berkenaan banyak membantu memenuhi permintaan pelanggan, khususnya sepanjang Ramadan dan Syawal, sehingga perniagaannya kini mampu mencatat jualan tahunan mencecah RM100,000.
“Jualan saya meningkat sehingga RM100,000 setahun dan jumlah itu dapat dikekalkan sehingga sekarang walaupun sudah tidak menerima geran.
“Peralatan yang dibeli menggunakan bantuan tersebut masih digunakan untuk menjalankan perniagaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas pengalaman menerima bantuan MAIM, Nur Amirah berkata proses permohonan dan penyediaan dokumentasi berjalan lancar kerana pihak MAIM turut memberikan bimbingan dari peringkat awal sehingga selesai.
Dia turut menggalakkan usahawan baharu yang mempunyai potensi mengembangkan perniagaan, namun berdepan kekangan modal, supaya merebut peluang bantuan serta bimbingan yang disediakan MAIM.
“Terima kasih kepada MAIM kerana melalui bantuan ini, kami mendapat peluang untuk meningkatkan jualan dari tahun ke tahun,” katanya.
Nur Amirah berkata, dia akan terus berusaha mengekalkan harga sate RM1 sebatang tanpa mengabaikan kualiti produk, termasuk resipi perapan dan kuah yang diwarisi daripada ibu mentuanya.
Jelasnya, meskipun keuntungan yang diperoleh tidak terlalu besar, dia tetap berpegang kepada prinsip mahu memastikan lebih ramai pelanggan berpeluang menikmati sate jualannya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

