EMPAT ASPEK PEMBANGUNAN BELIA JADI KEUTAMAAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Oktober – Pembangunan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sokongan terhadap keusahawanan belia perlu terus diperkukuh bagi memastikan golongan muda mampu memenuhi keperluan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, pembangunan belia secara menyeluruh perlu merangkumi empat aspek utama iaitu peluang pekerjaan, kemahiran, keusahawanan dan kesejahteraan sosial.

Menurutnya, sokongan berterusan kepada usahawan muda juga penting bagi menggalakkan golongan itu meneroka peluang baharu, sekali gus membina potensi diri dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi Melaka.

Beliau berkata, anak muda bukan sekadar pemimpin masa hadapan, malah rakan pembangunan yang mampu menyumbang idea, tenaga dan kepakaran pada masa kini.

“Oleh itu, marilah kita terus memberi ruang kepada anak muda untuk menyumbang idea, membina kemahiran dan memikul tanggungjawab dengan penuh integriti,” katanya ketika berucap pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Melaka Sidang II, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026, di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam yang merupakan wakil rasmi Ketua Menteri dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka, Ahmad Syammeil Mohamad Karim.

Khaidhirah yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim berkata, MPBN menyediakan platform kepada golongan belia untuk menyampaikan pandangan, berkongsi pengalaman dan membincangkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keberkesanan persidangan itu tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah usul yang dibentangkan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi tindakan susulan dan maklum balas praktikal daripada pihak kerajaan.

“Justeru, komunikasi antara kerajaan dengan golongan belia perlu diteruskan agar pandangan mereka dapat dinilai dan diberi perhatian sewajarnya.

“Saya berharap setiap usul yang dibincangkan dalam majlis ini dapat diteliti secara matang, berasaskan fakta dan mengutamakan kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan ketika perbahasan tidak seharusnya menjadi penghalang, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk memahami sesuatu isu dengan lebih mendalam dan mencari penyelesaian yang berkesan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

299
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: GABUNGAN PN-BN MAMPU CABAR DAP DI KESIDANG
Next post PRN MELAKA: BN SAH TANDING DI 23 KERUSI DUN