
PRN MELAKA: BN SAH TANDING DI 23 KERUSI DUN
TANJUNG BIDARA 30 Oktober – Barisan Nasional (BN) akan bertanding di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Jumlah terkini DUN akan ditandingi BN pada PRN Melaka Ke-16 meningkat kepada 23 selepas MCA menerima agihan satu lagi kerusi iaitu di Kota Laksamana.
Perkara itu juga disahkan oleh Pengerusi BN Melaka yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
“Ya keputusan ini dipersetujui kedua-dua pihak (BN-PN) untuk diserahkan kepada MCA. Jadi MCA ada tambahan dua kerusi dan akan betanding di empat kerusi.
“Perkembangan semasa ini menjadikan BN akan bertanding keseluruhan 23 kerusi DUN pada PRN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hi-Tea Jalinan Muhibbah di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama calon BN DUN Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; calon BN DUN Lendu Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; calon BN DUN Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan calon BN DUN Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah.
Yang turut hadir Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah Abu Hashim Abdul Samad dan jentera PAS Parlimen Masjid Tanah.
Mengulas lanjut Ab Rauf yang juga calon BN bagi DUN Tanjung Bidara berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada rundingan bersama semua pihak.
“Kita juga melihat kepada kajian yang sudah dibuat dan adalah bebih baik diserahkan kepada parti yang lebih berpotensi untuk menang di kawasan tersebut,” katanya.
Bagi kerusi keempat MCA di DUN Kota Laksamana BN akan diwakili Melvin Chua Kew Wei yang juga Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Terdahulu, semalam MCA mengumumkan menerima tambahan kerusi ketiga di DUN Bandar Hilir yang diwakili calon wanita iaitu Jasmine Lok huey Yee berusia 38 tahun.
Sebelum ini MCA diumumkan bertanding di dua kerusi iaitu DUN Klebang diwakili Datuk Wira Lim Ban Hong dan DUN Machap Jaya diwakili Datuk Ngwe Hee Sem.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


