Sorting by

×

KPDN fokus banteras aktiviti kartel

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Menyiasat aktiviti kartel dalam sektor makanan dan pertanian menjadi keutamaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tahun ini, kata menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata aktiviti kartel telah terlalu lama mengambil kesempatan ke atas rakyat dan kerajaan dan sudah tiba masanya kegiatan tidak bermoral itu dihentikan.

Salahuddin berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah melaksanakan pelbagai usaha dan tindakan terhadap kartel dan monopoli yang melibatkan penalti kewangan bernilai kira-kira RM175 juta.

“Pencapaian ini mesti diteruskan. Kartel dan monopoli tidak boleh dibenarkan untuk wujud kerana mereka mengganggu persaingan dalam pasaran demi faedah syarikat perniagaan, sekali gus mempengaruhi kos sara hidup.

“Justeru saya menggesa MyCC untuk memperhebat usahanya dalam menghapuskan kegiatan ini dan sebagai anggota Kabinet, saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada MyCC untuk menghapuskan, atau mengurangkan kuasa kartel dan monopoli,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Siri Syarahan Kedua Profesor Richard Whish di sini hari ini.

Salahuddin berkata MyCC akan turut memfokuskan pada mewujudkan penguatkuasaan kawalan penggabungan, memandangkan ia kini tiada dalam undang-undang persaingan di Malaysia.

Beliau berkata penguatkuasaan kawalan penggabungan penting bagi memastikan pengguna tidak terjejas dengan monopoli baharu yang terhasil daripada penggabungan antara para pemain utama industri.

“Kita telah melihat impak penggabungan (berciri) besar di seluruh dunia dan di negara tercinta ini. Kita perlu ingat Malaysia adalah negara perdagangan dengan ekonomi yang berkembang. Kita tidak boleh ada penumpuan pasaran, terutama dalam bidang penting seperti perkhidmatan, peruncitan, makanan dan sektor pertanian.

“Jika tidak dikawal, penggabungan akan turut digunakan untuk menyamari pembentukan kartel. Oleh sebab itu MyCC mendapat sokongan penuh saya dalam perkara ini dan bersama-sama, kita akan memastikan pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 dibentang di Parlimen secepat mungkin,” katanya.

Dalam memastikan MyCC kekal relevan dengan trend semasa dan masa depan susulan ekonomi digital, Salahuddin berkata badan kawal selia itu tidak lama lagi akan menjalankan kajian pasaran bagi mengenal pasti punca sebenar dalam pasaran digital sedia ada yang menggugat persaingan.

“Ia akan melihat kepada struktur pasaran termasuk pengendalian syarikat, pembekal dan pengguna dalam rantaian bekalan serta memberi cadangan sewajarnya..” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1337
Kongsi :
Previous post Arah kiblat 55 masjid warisan Melaka disemak semula – Mufti
Next post 367,692 rakyat Melaka bayar cukai tanah
Ubah saiz-+=