Arah kiblat 55 masjid warisan Melaka disemak semula – Mufti

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

DUYONG 12 Januari – Jabatan Mufti Negeri Melaka menyemak kembali arah kiblat melibatkan 55 masjid warisan berusia lebih 100 tahun di negeri ini.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata daripada jumlah itu hampir 50 peratus masjid arah kiblatnya tersasar melebihi tiga darjah dan sehingga 18 darjah.

Katanya, pihaknya menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Melaka melibatkan 55 masjid yang berusia 100 tahun itu empat tahun lalu.

“Jadi proses kita adalah memberi penjelasan kepada masyarakat kemudian membetulkan arah kiblat sedia ada dengan cara paling cepat kerana kita nampak ia tersasar.

“Antara masjid itu Masjid Duyong, Masjid Semabok, Masjid Serkam, Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Kling yang berusia lebih 100 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Arah Kiblat & Star Rating Stesen Minyak Petronas Negeri Melaka di Stesen Minyak Petronas Semabok di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Runcit (Bahan Api) Petronas Dagangan Berhad, Norazlan Subaha.

Ujarnya arah kiblat tersebut tersasar berikutan pada waktu dahulu masih tiada teknologi yang canggih selain tiada agensi yang boleh memantau perubahan itu.

“Ini bukan bererti orang dulu salah arah kiblat, tetapi ketika itu tiada badan yang mengawal.

“Tiada teknologi canggih dan kemungkinan ketika itu mereka membuat penentuan arah kiblat berdasarkan cerapan matahari atau bayang dibuat secara tradisional.

“Bagi masjid yang dibolehkan arah kiblat adalah bawah tiga darjah dengan alasan ia iktikaf menghala ke Baitullah ke Tanah Haram,” katanya.

Katanya lagi, Jawatankuasa Fatwa Negeri telah memutuskan mana-mana arah kiblat yang bawah tiga darjah dimaafkan dan tidak perlu diperbetulkan arah kiblat tersebut.

“Mana-mana masjid, surau atau tanah perkuburan yang dah terbina untuk menyemak semula, boleh buat aduan kepada kita.

“Tapi janganlah masjid baharu, kerana pembinaan itu telah mengikut proses yang betul, masjid baharu tiada masalah kerana mengikut spesifikasi semasa,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1744
Kongsi :
Previous post PPS dibuka di Sahom, tempatkan 86 mangsa banjir kilat
Next post KPDN fokus banteras aktiviti kartel
Ubah saiz-+=