‘Tiada kompaun, polis hanya beri nasihat’

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 29 Ogos – Polis Melaka menafikan dakwaan pihaknya mengeluarkan kompaun kepada lima individu yang beriadah di Taman Botanikal Melaka, di sini, semalam.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat berkata, tiada kompaun dikeluarkan sebaliknya pihaknya hanya memberi nasihat kepada individu terbabit.

Katanya, ketika kejadian seramai lima individu yang turut membawa anak kecil telah mengunjungi taman awam itu bagi tujuan riadah dan rekreasi.

Pegawai Turus Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (JKDNKA), Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat.

“Tidak betul apa yang ditularkan. Kita hanya beri nasihat kepada mereka dan tidak mengeluarkan apa-apa kompaun.

“Orang ramai perlu tahu bahawa Melaka masih masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Justeru, taman awam di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) masih belum dibuka untuk tujuan riadah, rekreasi atau senaman,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Terdahulu, tular di aplikasi Whatsapp mendakwa polis telah mengeluarkan kompaun kepada lima individu yang hendak melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di Taman Botanikal Melaka Ayer Keroh.

Mesej yang tular itu turut mengemukakan beberapa keping foto menunjukkan polis mengawal pintu masuk taman rekreasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Nik Ab Halim meminta orang ramai agar perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman yang dihubungi MHI turut mengesahkan taman-taman awam di bawah kawasan Hang Tuah Jaya masih belum dibuka kepada orang awam.

“SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka memang masih tidak membenarkan taman awam dan kawasan rekreasi dibuka buat masa ini.

“Jadi, kita harap orang ramai faham ketetapan ini dan mematuhi SOP ditetapkan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

660
Kongsi :
Previous post Pengadil Malaysia dilantik mengadili aksi final Piala Dunia Bola Sepak Pantai
Next post Jadikan kilang sebagai PPV jika punya pekerja asing- PM
Ubah saiz-+=