Tiada pemberian vaksin secara ‘walk in’ di Stadium Hang Jebat – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 29 Ogos – Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman menafikan satu mesej tular bahawa orang ramai boleh mendapatkan vaksin secara terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Stadium Hang Jebat yang mula beroperasi esok.

Tegasnya, PPV mega yang mampu menampung 5,000 penerima vaksin sehari itu hanya akan menerima individu yang mempunyai janji temu menerusi MySejahtera sahaja.

RAHMAD.

“Setakat ini PPV di Stadium Hang Jebat hanya dibuka untuk mereka yang telah mendapat janji temu MySejahtera sahaja.

“Tiada pemberian vaksin secara ‘walk in’ kerana kita khuatir tidak mampu mengawal kehadiran orang ramai.

“Apapun, jangan risau, Insya-Allah semua akan menerima vaksin nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Mesej berkenaan tular menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini mengaitkan PPV Stadium Hang Jebat akan dibuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas yang masih belum menerima vaksin COVID-19.

Sebelum ini, MHI melaporkan dua PPV mega akan dibuka di Melaka iaitu di Stadium Hang Jebat dan Stadium Jasin yang mampu memberikan 5,000 dan 3,000 vaksin kepada penerima dalam sehari.

Pembukaan PPV mega itu dijangka mampu meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini daripada 17,000 kepada 22,000 suntikan sehari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1028
Kongsi :
Previous post Bekalan ubat COVID-19 tidak terputus – Dr Noor Hisham
Next post Peniaga khuatir penularan mudah berlaku jika ‘dine-in’
Ubah saiz-+=