Tiada ruang buat mereka yang tidak setia – Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yakin seluruh pengundi termasuk pengundi muda di kawasan itu tidak akan memberikan peluang kepada individu yang tidak berprinsip serta tidak setia kepada parti itu.

Beliau berkata, ada pengundi yang beberapa kali telah mengundi dalam pilihan raya sebelum ini telah menyatakan pendirian tidak akan mengundi calon sedemikian, sebaliknya akan memberi sokongan penuh kepada BN sebagai parti yang berwibawa untuk mentadbir negeri ini.

“Biarpun kita sekarang ini ada kekangan sedikiit sebab kita tak boleh berjumpa dengan pengundi tetapi saya yakin bahawa peluang yang ada pada kali ini kita akan melihat bahawa keyakinan pengundi sama ada pengundi muda atau pengundi yang sudah mengundi beberapa kali tidak akan memberikan ruang kepada mereka yang tidak ada kesetiaan pada parti.

“Individu itu telah diberi peluang menjadi Ahli Parlimen jadi tidak perlu dia jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kawasan yang sama kerana sepatutnya dia memberi tumpuan peranan sebagai Ahli Parlimen bukannya peranan sebagai ADUN.

“Jadi orang muda pun berfikir seharusnya Tanjung Bidara ini mesti diwakili oleh ADUN yang boleh memberikan tumpuan terhadap perkhidmatan di dalam Tanjung Bidara ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Kampung Balik Batu, di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, rakyat hari ini bijak memilih pimpinan yang berwibawa memandangkan sebelum ini peluang telah diberi, namun gagal memenuhi mandat yang diserahkan.

“Sebenarnya rakyat telah melihat selama 22 bulan dan peluang telah diberi untuk parti yang sama juga menawar diri untuk bertanding kerana kegagalan watak-watak yang ada dalam parti Pakatan Harapan terdahulu, juga watak-watak yang sama untuk mengambil alih keyakinan rakyat pada kali ini tetapi rakyat sudah boleh menilai kerana telah diberi peluang untuk mengurus tadbir dan ternyata gagal.

“Kita melihat bahawa ruang yang ada ini UMNO dilihat bersama naungan BN, sebuah parti yang cukup berwibawa untuk mentadbir urus negeri ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post Berkempen guna lori, dekatkan diri dengan pengundi
Next post Melaka perlu RM53 juta laksana dua projek atasi banjir
Ubah saiz-+=