Tiada varian Omicron pada tiga kluster pendidikan baharu

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 30 Jan- Tiga kluster pendidikan yang direkodkan di Melaka semalam tidak membabitkan varian Omicron.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, penambahan tiga kluster itu menjadikan jumlah kluster pendidikan di negeri ini sebanyak tujuh dengan keseluruhan kes positif membabitkan 335 pelajar dan guru.

Menurut beliau, kluster pendidikan terbaharu direkodkan semalam adalah Kluster Jalan Telok Mas membabitkan 24 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah positif daripada 195 kontak rapat yang telah disaring.

“Dua lagi institusi pendidikan lain adalah Kluster Paya Lebar di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Masjid Tanah iaitu daripada 460 kontak rapat disaring, 31 adalah positif.

“Kluster pendidikan ketiga adalah Kluster Jalan Sungai Air Hitam, jangkitan di sekolah tahfiz Pusat Bimbingan Al Islah di Tanjung Minyak yang menyaksikan 19 pelajar dan pengajar positif daripada 42 kontak rapat yang disaring

“Bagaimanapun bagi semua kes terbaharu dalam tiga kluster ini, tiada varian Omicron dikesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua 74 pelajar dan guru yang positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh untuk rawatan lanjut.

“Kesemua tiga insitusi pendidikan terbabit turut diarah tutup antara tujuh hingga 10 hari bermula Jumaat lalu bagi tujuan sanitasi dan pemantauan berterusan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya.

Terdahulu, pada 25 Januari lalu, Dr Rusdi mendedahkan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini semakin membimbangkan yang ketika itu menyaksikan seramai 261 pelajar di empat buah institusi pendidikan negeri itu disahkan positif COVID-19.

Situasi itu katanya, boleh mendorong kepada peningkatan kes bagi kluster pendidikan termasuk merebak ke sekolah harian dan berasrama sekiranya masyarakat tidak berwaspada dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

737
Kongsi :
Previous post KKMM perbanyak sesi libat urus bersama pemain industri kreatif- Annuar
Next post Pembuat bom Abu Sayyaf sah masih hidup – Esscom
Ubah saiz-+=