Tiga calon Pantai Kundor janji tidak serang peribadi

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PANTAI KUNDOR 8 Nov – Tidak akan ada serangan peribadi antara tiga calon Pantai Kundor kerana masing-masing saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Itu janji yang diberikan tiga calon di DUN berkenaan iaitu Datuk Nor Azman Hassan (PH-Amanah) Tuminah Kadi (BN-UMNO) dan Mohd Rizwan Mustafa (PN-Bersatu) selepas selesai majlis penamaan calon hari ini.

Menurut Nor Azman, 57, sebagai individu yang pernah bekerja dalam UMNO cawangan dan mengenali lawannya secara lebih dekat, beliau tidak akan sesekali menyerang peribadi satu sama lain.

“Saya dan Tuminah (BN) saling bekerjasama ketika saya masih dalam UMNO Cawangan Tanah Merah Jaya sebelum dipecat daripada UMNO kerana menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.

“Walaupun saya baharu mengenali Mohd Rizwan hari ini, saya tidak akan menyerang peribadinya kerana saya mengamalkan politik sihat dengan mengelak daripada mencerca orang lain,” katanya.

Bagi Tuminah, walaupun bertarung dari aspek politik, beliau dan Nor Azman serta Mohd Rizwan saling kenal antara satu sama lain kerana tinggal di kawasan yang berhampiran.

“Saya berazam berjuang habis-habisan bagi memastikan Pantai Kundor kekal menjadi milik BN kerana selama ini pun kerusi itu tidak pernah jatuh ke tangan parti lain selain BN.

“Biarlah kami saling berperang di medan perang politik tetapi hubungan kami tidak terjejas kerana masing-masing menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rizwan yang sebelum ini merupakan jurutera di sebuah syarikat perkilangan di Alor Gajah berkata, walaupun masih baharu dalam politik, beliau yakin anggota komuniti sudah mengenali Bersatu.

Katanya, politik hari ini amat mengutamakan kemampuan wakil rakyat membuat kerja dan beliau berjanji memikul tugas dan amanah berkenaan dengan sempurna jika dipilih pengundi untuk memperjuangkan nasib mereka.

“Saya tidak akan menyerang peribadi dua calon yang menjadi kawan saya, sebaliknya saya memperjuangkan visi untuk membantu memajukan pelbagai industri di Pantai Kundor seperti pelancongan dan perkilangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

593
Kongsi :
Previous post Bertugas ‘dalam kurungan’ jayakan penamaan calon Pantai Kundor
Next post Media arus perdana diminta bantu calon bertanding
Ubah saiz-+=