Bertugas ‘dalam kurungan’ jayakan penamaan calon Pantai Kundor

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PANTAI KUNDOR 8 Nov – Bertugas ‘dalam kurungan’ tidak menghalang Pegawai Pengurus (RO) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Norzizi Yati Jimat untuk menyempurnakan amanah yang dipikul.

Dalam keadaan terpaksa menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) akibat kontak rapat kepada pesakit COVID-19, beliau tetap mampu membuat pengumuman dan menandatangani pelbagai dokumen penting ketika proses penamaan calon dijalankan.

Beliau menyempurnakan tugas itu ketika membantu mengendalikan penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, Tanjung Kling di sini hari ini.

Norzizi yang bertugas sebagai Penolong Setiausaha Jabatan Ketua Menteri terpaksa dikuarantin dalam kaunter bergerak SPR susulan RO yang sepatutnya bertugas hari ini, Zukhairi Arun menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selepas seorang individu yang hadir di dewan sekolah itu semalam disahkan positif COVID-19.

Sehubungan itu, tugas menerima borang pencalonan dan mendaftarkan pencalonan tiga calon kerusi Pantai Kundor terpaksa diambil alih sepasukan pegawai SPR dan tugas proses
menandatangani dokumen serta pengumuman diserahkan kepada Norzizi.

Pegawai SPR yang enggan dikenali berkata, seorang individu yang hadir di dewan sekolah berkenaan disahkan positif dan ia menyebabkan Zukhairi dan Norzizi terpaksa dipakaikan gelang merah jambu dan menjalani kuarantin.

“Zukhairi menjalani kuarantin di kediamannya tetapi Norzizi masih dibenarkan bertugas oleh pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah kerana dia hanya kontak rapat.

“Walaupun kami yang mengendalikan urusan penerimaan borang dan pendaftaran calon, tandatangan RO tetap diperlukan dan begitu juga dengan tugas membuat pengumuman yang disempurnakannya,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Calon berkenaan ialah Datuk Nor Azman Hassan, 57, mewakili Pakatan Harapan (PH), Tuminah Kadi, 55, dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd Rizwan Mustafa, 41, dari Perikatan Nasional (PN).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Kongsi :
Previous post Mahfuz Omar menang saman fitnah peroleh ganti rugi RM50,000
Next post Tiga calon Pantai Kundor janji tidak serang peribadi
Ubah saiz-+=