Tiga lelaki ditahan disyaki samun kedai runcit

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Tiga lelaki ditahan disyaki menyamun sebuah kedai runcit di Jalan Enggang, Taman Keramat, di sini, Ahad lepas yang melibatkan kerugian RM5,000.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian 9.25 malam itu, ketiga-tiga suspek telah datang ke kedai berkenaan dengan menyamar sebagai pegawai kastam untuk membuat pemeriksaan, sebelum bertindak mengambil duit perniagaan dan melarikan diri.

“Bagaimanapun seorang daripada lelaki itu yang berusia 35 tahun berjaya ditahan oleh orang ramai dan pemilik kedai di sekitar kawasan kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis yang tiba di tempat kejadian pada 9.45 malam.

“Semakan awal mendapati lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pembantu kedai aksesori kereta di Pandan Indah mempunyai dua rekod berkaitan dadah dan satu rekod jenayah selain didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan untuk mencederakan tangan seorang pekerja di kedai itu, pakaian suspek dan satu set walkie-talkie.

Mohamad Farouk berkata susulan penahanan itu, polis berjaya menahan dua lagi lelaki berusia 32 dan 39 tahun dalam serbuan di Apartment Kota Warisan, Selayang dan sekitar Bandar Sri Damansara antara 8.45 hingga 9.50 malam tadi serta merampas dua telefon bimbit.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki yang berusia 32 tahun adalah penganggur dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk tiga rekod dikehendaki polis atas kesalahan dadah manakala rakannya merupakan seorang kelindan lori yang memiliki 20 rekod lampau.

Katanya ketiga-tiga lelaki berkenaan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1616
Kongsi :
Previous post Nenek bersyukur cucu OKU dapat MyKad
Next post Seorang pelajar lelaki lemas, mandi-manda bersama rakan di Tasik Cermin
Ubah saiz-+=