Nenek bersyukur cucu OKU dapat MyKad
DUYONG 15 Januari – “Alhamdulillah saya bersyukur biarpun cucu merupakan orang kurang upaya (OKU), namun usaha mendapatkan dokumen pengenalan diri (MyKad) dipermudahkan”.
Itu luahan seorang nenek Rohana Arffin,58, yang setia menjaga cucunya Nur Aleeya Ammar,12, dengan kudrat yang ada biarpun sudah meningkat usia.
“Hari ini Nur Aleeya sudah ada MyKad, Alhamdulillah syukur, makcik mohon pada 5 Januari lalu dan keesokan harinya pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka datang rumah untuk buat MyKad.
“Tidak sampai seminggu MyKad Aleeya sudah siap dan diserahkan pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bukit Godek di sini hari ini.
Penyerahan itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Ruslin Jusoh.
Menurut Rohana dia mengambil tanggungjawab menjaga cucunya itu sejak usia empat bulan selepas doktor mengesahkan cucunya mengalami kecederaan di otak.
“Nur Aleeya menghidapi penyakit ini sejak umur empat bulan, doktor sahkan terdapat gegaran dalam otaknya dan dia koma selama sembilan hari.
“Apabila dia sedar, penglihatan dia sudah rosak dan tidak boleh melihat lagi, hampir sebulan juga Nur Aleeya masuk hospital,” katanya.
Katanya, Nur Aleeya yang memegang kad OKU Fizikal itu mempunyai empat lagi adik-beradik yang dijaga ibu dan bapanya di Kajang, Selangor.
“Ibu dan ayah Nur Aleeya bekerja di Kajang jadi mereka balik sebulan dua kali, saya ambil tanggungjawab ini kerana mahu penjagaan lebih rapi dan teliti untuk Nur Aleeya.
“Di rumah ini ada suami saya dan dua anak perempuan yang juga boleh membantu melihat keadaan Nur Aleeya jika saya tiada di rumah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.