Tiga Pusat Katalis di Melaka dikenal pasti rancakkan pembangunan bandar

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDA HILIR 8 Ogos – Kuala Linggi, Padang Sebang dan Sungai Rambai yang digariskan sebagai lokasi pusat katalis negeri ini, dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat.

Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Melaka, Nor Jafni Zainuddin berkata, pembangunan dirangka menerusi Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) akan diterjemahkan kepada rancangan tempatan dengan cadangan melaksanakan permohonan sesuai kepada pembangunan di kawasan berkenaan.

Nor Jafni berkata, pembangunan yang bakal dilaksanakan juga menyentuh sektor perbandaran dengan elemen-elemen perkembangan bandar yang tidak lari daripada persempadanan bandar telah ditetapkan.

“Kita akan masukkan dengan fasiliti awam, pembesaran infrastruktur dan menambah baik kemudahan utiliti.

“Itu antara yang memang kita fokuskan bagi pembangunan kawasan bandar selain elemen imej bandar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Executive Talk Perundangan Perancangan Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) Ke Arah Pembangunan Berdaya Huni bersama Ahli Majlis PBT Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Program yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Tpr. Dr. Alias Ramli, Pegawai Kewangan negeri Datuk Salhah Salleh dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu.

Menurutnya, RFN4 yang dirangka itu berdasarkan konsep Ekosistem Spatial yang Komprehensif dengan penekanan kepada penggunaan tanah secara optimum.

Katanya, fokus pembangunan ekonomi di kawasan pertumbuhan utama, meningkatkan ketersambungan antara wilayah melalui rangkaian perhubungan yang bersepadu selain pemeliharaan dan pemuliharaan aset ekologi serta pertanian.

“RFN4 juga memastikan pertumbuhan negara yang seimbang. Dalam konteks di Melaka, MBMB telah dikenali sebagai Zon Promosi Pembangunan (ZPP).

“Lokasi berkenaan adalah pusat penempatan mempunyai hubung kait kukuh daripada segi aktiviti ekonomi, sosial, pentadbiran, mempunyai fungsi kukuh dan potensi tersendiri dalam menjana ekonomi penduduk setempat.

“Dasar-dasar perancangan ini diperincikan mengikut sektor dan melalui perancangan merentasi sempadan negeri iaitu berkaitan sumber-sumber semulajadi yang perlu dipelihara bagi kepentingan negara,” katanya.

Views:

1897
Kongsi :
Previous post Guru wanita berkelubung rai kemerdekaan negara
Next post Pemansuhan UPSR, PT3 beri ruang pelaksanaan PBS secara lebih berkesan
Ubah saiz-+=