Guru wanita berkelubung rai kemerdekaan negara

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LINGGI 8 Ogos – Kelubung yang sinonim dengan wanita zaman sebelum kemerdekaan digayakan 11 guru Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah (SKKT), Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan sekolah itu, di sini, hari ini.

Pemakaian kain batik yang menutup kepala guru wanita terbabit bertujuan mengimbau kehidupan masyarakat orang Melayu pada zaman sebelum merdeka.

Kelubung seolah-olah pakaian wajib setiap kali wanita keluar rumah untuk ke kebun atau membantu suami ke sawah dan seumpamanya.

Selain itu 11 guru lelaki SKKT pula menggayakan tanjak sebagai mengenang kembali zaman kebangkitan orang Melayu menuntut kemerdekaan daripada British.

Dengan diketuai Guru Besar Ramli Abu Samah, warga SKKT mengibarkan Jalur Gemilang selepas murid melafazkan ikrar.

MURID berarak membawa Jalur Gemilang

Guru Panitia Sejarah, Rosnita Ismail berkata, guru sepakat mengenakan pakaian berkenaan bagi mempamerkan kepada murid kaedah anggota masyarakat Melayu sebelum merdeka berpakaian yang jarang dilihat mereka dalam kehidupan harian.

“Masyarakat Melayu sebelum merdeka hidup dengan bertani, menangkap ikan, bersawah dan seumpamanya dan wanita tetap menutup aurat dengan berkelubung apabila keluar rumah.

“Sekurang-kurangnya murid memahami masyarakat sebelum merdeka hidup dalam keadaan berpegang teguh pada agama, adat dan budaya serta berani memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Program itu diserikan dengan majlis menaikkan bendera dan murid menyanyikan beberapa lagu patriotik sambil mengibar bendera.

Views:

3351
Kongsi :
Previous post Melaka diiktiraf antara negeri paling bahagia di Malaysia
Next post Tiga Pusat Katalis di Melaka dikenal pasti rancakkan pembangunan bandar
Ubah saiz-+=