Sorting by

×

TIGA TABIKA AUTISME MELAKA MULA OPERASI JULAI DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TABOH NANING 8 Mac – Projek Rintis Tabika Berkeperluan Khas untuk Program Pembangunan Anak Autisme di Melaka dijangka mula beroperasi pada Julai depan.

Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, Melaka merupakan negeri pertama yang melaksanakan projek berkenaan menerusi peruntukan RM300,000 daripada Kerajaan Negeri.

Menurut kenyataan itu, tiga Tabika Berkeperluan Khas itu akan dibangunkan di kesemua tiga daerah dalam Negeri Melaka iaitu Tabika KEMAS Air Hitam Pantai A di daerah Alor Gajah; Tabika KEMAS Hang Jebat A (Melaka Tengah) dan Tabika KEMAS Merlimau Barat 2 (Jasin).

“Pada tahun 2026, inisiatif ini akan diperluas dengan sasaran sekurang-kurangnya satu Tabika Berkeperluan Khas di setiap negeri.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik KEMAS untuk memperluas akses pendidikan inklusif kepada kanak-kanak autisme.

“Ia bertujuan membantu mereka berdikari dan menjalani kehidupan yang lebih berkualiti, sejajar dengan agenda negara dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama KEMAS di Masjid Ar-Rahman, Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhamad Khair Razman Mohammed Annuar; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Untuk rekod, Melaka adalah lokasi pertama penganjuran Majlis Santunan Kasih Ramadan daripada enam lokasi yang ditetapkan pada tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

78
Kongsi :
Previous post BANJIR DI MELAKA SEMAKIN PULIH
Next post PESONA TERATAK KLASIK D’SUNGAI MELAKA, LOKASI IDEAL BERBUKA PUASA