
PESONA TERATAK KLASIK D’SUNGAI MELAKA, LOKASI IDEAL BERBUKA PUASA
BANDARAYA MELAKA 8 Mac – Hidangan tradisional daging salai masak lemak cili padi, udang galah masak lemak nanas, ikan patin masak tempoyak dan tetel asam pedas menjadi antara menu menarik ditawarkan bufet Iftar Teratak Klasik D’Sungai Melaka di Restoran Terapung Mendam Berahi yang membuka tirainya, semalam.
Turut menjadi pilihan berbuka adalah menu wajib ada iaitu kambing golek selain kuih muih tradisional, buah-bahan dan empat jenis minuman penghilang dahaga.

Bufet berbuka puasa itu adalah hasil kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Mr. Salai Smoke Haus dengan menyediakan lebih 10 juadah istimewa yang pasti membuka selera pengunjung.
Pakej berbuka puasa itu bermula dari 7 sehingga 29 Mac ini dan bagi menawarkan kepuasan serta kelainan kepada pengunjung hidangan berbeza disajikan setiap minggu.

Selain menjamu selera bersama keluarga atau sahabat handai dengan suasana tenang di tepi Sungai Melaka, pihak PPSPM turut menyediakan kemudahan surau berhampiran lokasi bufet bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat Maghrib.
Kadar harga yang ditawarkan di Teratak Klasik D’Sungai Melaka bermula dengan harga RM29.90 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, RM39.90 (warga emas 60 tahun ke atas) dan RM49.90 untuk dewasa 12 hingga 59 tahun.
Bufet iftar tersebut boleh menempatkan sehingga 200 orang dalam satu-satu masa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.