Sorting by

×

PEKERJA LADANG BERSYUKUR SAMBUT AIDILFITRI DI RUMAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TABOH NANING 8 Mac – Ramadan kali ini amat amat bermakna buat Noraiman Norizan, 29, apabila impiannya memiliki kediaman sendiri tercapai selepas lebih empat tahun menunggu.

Lebih menggembirakan Noraiman, apabila isterinya Siti Umairah Ajis, 26, bakal melahirkan cahaya mata kedua mereka di rumah baharu berkenaan.

Katanya, impian itu menjadi kenyataan selepas dia terpilih sebagai penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)

Sebelum ini dia dan isteri terpaksa memendamkan hasrat untuk membina rumah sendiri berikutan kekangan kewangan, malah pendapatan bulanan sebagai pekerja ladang yang tidak menentu turut membantutkan impian mereka.

“Empat tahun menunggu, akhirnya Aidilfitri kali ini kami sambut di rumah baharu. Rezeki Ramadan untuk kami sekeluarga termasuk anak yang bakal lahir nanti.

“Lebih bermakna lagi kunci rumah diserahkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Noraiman ditemui selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah di Masjid Ar-Rahman, Kampung Rantau Panjang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhamad Khair Razman Mohammed Annuar; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurutnya, rumah tiga bilik yang dibina di atas tanah pemberian bapanya itu adalah menerusi bantuan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat.

“Lega juga rasanya kerana selepas ini tidak perlu fikir lagi untuk membayar sewa rumah malah dapat berjimat kira-kira RM400 sebulan selepas ini.

“Insya-Allah selepas ini, dapatlah saya dan isteri membesarkan anak-anak di rumah baharu. Impian saya semoga dapat besarkan anak dalam keadaan selesa serta penuh kasih sayang seperti ayah besarkan kami adik-beradik dulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post PESONA TERATAK KLASIK D’SUNGAI MELAKA, LOKASI IDEAL BERBUKA PUASA
Next post MENARA TAMING SARI AGIH 300 BUBUR LAMBUK PERCUMA