Tingkatkan mutu pendidikan anak B40 – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TABOH NANING 16 Julai – Kerajaan negeri berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu meningkatkan mutu pendidikan anak golongan B40 dengan menyediakan bantuan bersesuaian seperti biasiswa, komputer riba secara percuma dan bantuan sara hidup.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, usaha Yayasan RISDA menyediakan aspek berkenaan seharusnya dicontohi lebih banyak syarikat korporat.

“Yayasan RISDA menawarkan pelbagai insentif menarik untuk anak komuniti RISDA, terutamanya generasi pekebun kecil RISDA dalam kategori B40 untuk menyambung pengajian di UCAM (Kolej Universiti Agrosains Malaysia).

“Kerajaan amat menggalakkan dan mengalu-alukan penglibatan sektor korporat atau mana-mana pihak untuk mengadakan program sedemikian dalam memupuk kesejahteraan serta semangat perpaduan rakyat.

“Perkara ini selari dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) di bawah Flagship ke-8, iaitu ‘Melaka Sejahtera’ yang menekankan aspek perpaduan, kebajikan, kesihatan, belia dan sukan,” katanya ketika berucap merasmikan program UCAM Edu Agro Fun Run di kampus UCAM, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) RISDA, Sopian Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Hisan.

Selain acara larian, turut diadakan ialah jualan pelbagai produk pertanian yang dihasilkan pensyarah dan penuntut UCAM.

Sulaiman berkata, program berkenaan bukan setakat memberi peluang kepada anak muda melakukan aktiviti rekreasi melalui acara larian, malah turut dimasukkan elemen ‘Agro’ dalam setiap hentian (pit-stop).

“Elemen itu adalah pendekatan yang menarik dan kreatif kerana ia memberi fokus kepada sukan, selain mendekatkan generasi masa kini untuk lebih mengenali alam sekitar seperti tumbuh-tumbuhan di sekitar UCAM,” katanya.

Program berkenaan diadakan tepat pada masanya untuk memastikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat Keluarga Malaysia dalam aktiviti gaya hidup sihat, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1560
Kongsi :
Previous post Projek perintis GTIMP bermula hari ini
Next post UCAM kena serbu
Ubah saiz-+=