UCAM kena serbu

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TABOH NANING 16 Julai – Segar dari ladang dan harga lebih rendah berbanding pasaran konvensional.

Konsep berkenaan menyebabkan jualan hasil pertanian di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Ayer Pa’abas, di sini, hari ini diserbu orang ramai.

Anak pokok durian musang king ditawarkan pada harga hanya RM23, selain durian IOI (RM20), durian duri hitam (RM20), nangka madu (RM19) dan mangga chokanan (RM20), jauh lebih rendah berbanding yang ditawarkan di pasaran.

Orang ramai juga berpusu-pusu mendapatkan anak pokok pelbagai jenis sayur yang ditawarkan hanya RM2 seperti cili padi, cili merah, terung, ulam cekur, pegaga kampung, ketumbar jawa, daun sup, kacang panjang dan selasih manis.

Selain itu, orang ramai juga tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan nanas MD2 ditanam di tanah bukit pada harga RM6 sebiji bagi menikmati kemanisannya yang lebih tinggi berbanding nanas tanah gambut.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan, Mohd Jamiludin Sarip berkata, penuntut UCAM menimba ilmu secara praktikal di kebun seluas kira-kira 2.4 hektar.

“Selain nanas, mereka juga dibimbing kaedah menanam dan menjaga kelapa pandan, durian musang king dan halia manakala kaedah penanaman cendawan tiram dibuat dalam empat bangunan konkrit yang diubah suai menjadi bangsal cendawan.

“Penuntut juga dibimbing secara praktikal kaedah menternak ikan tilapia merah dan keli dalam tiga kolam,” katanya ketika ditemui di gerai nanas MD2 dan jus nanas pada program UCAM Edu Agro Fun Run di kampus UCAM.

Program dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) RISDA, Sopian Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Hisan.

Pensyarah Jabatan Pengurusan Perladangan, Nurul Ain Sulaiman berkata, benih sayur disemai di nurseri dan dipasarkan bukan setakat pada program berkenaan, malah pada hari biasa.

“Kami menawarkan anak pokok pelbagai jenis sayur pada harga hanya RM2 kerana hasil usaha penuntut yang sudah dinilai, dibuka untuk jualan kepada orang ramai pada harga lebih rendah daripada pasaran di luar kampus,” katanya.

Pensyarah Pengurusan Tanah dan Sains Tanaman, Siti Rabiah Hassan berkata, cendawan tiram seberat 250 gram dijual pada harga RM5 bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati hasil kerja penuntut yang berusaha memastikan 30,000 bongkah cendawan mengeluarkan hasil memuaskan.

Katanya, penjualan cendawan dalam paket kecil 250 gram lebih praktikal berbanding jika dibungkus sekilogram yang kurang mendapat permintaan pelanggan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2197
Kongsi :
Previous post Tingkatkan mutu pendidikan anak B40 – Sulaiman
Next post Tanah terbiar kerajaan untuk aktiviti pertanian – KM
Ubah saiz-+=