Sorting by

×

TNB ikat kontrak bekalan arang batu bernilai RM13.1 bilion dari Indonesia

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 31 Mei – Isu kekurangan bekalan arang batu selesai selepas Malaysia memeterai kontrak perjanjian jangka panjang bernilai RM13.1 bilion dengan Indonesia bagi pembekalan arang batu dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, negara berdepan masalah untuk mendapatkan 65 peratus bekalan bahan bakar dari negara import utama arang batu iaitu Indonesia Januari tahun ini berikutan dasar ditetapkan republik itu yang menguatkuasakan dasar melarang komoditi itu selepas stok arang batu jatuh ke paras rendah.

Bagaimanapun katanya, pihaknya bersama pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertemu pengeksport negara itu minggu lalu dan hasil perbincangan itu negara berjaya menandatangani perjanjian jangka panjang bernilai RM13.1 bilion , meningkat berbanding kontrak bernilai RM10 bilion pada tahun lalu.

“Baru-baru ini di awal tahun, kita ada sedikit masalah berkaitan import bahan api tetapi saya dan pengurusan tertinggi TNB telah pergi ke Indonesia berjumpa dengan pengeksport bahan batu bara (arang batu) dan menandatangani perjanjian jangka panjang.

“Pembekalan arang batu dari Indonesia sahaja 65 peratus namun negara lain juga menjadi pengeksport komoditi itu iaitu Rusia dan Afrika Selatan namun Indonesia adalah negara pembekal utama.

“Dari segi harga, nilai lebih tinggi kerana harga bahan itu meningkat selain kita ikut harga pasaran dan ‘volume’ bekalan komoditi itu mengikut keperluan, kebiasaannya (perjanjian dimeterai) dalam tempoh tiga tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Menara TNB di MITC Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Ariffin.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Indonesia menerusi Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral memutuskan untuk menghentikan sementara eksport arang batu bagi memenuhi permintaan domestiknya dalam tempoh sebulan Januari lalu.

Bagaimanapun, republik itu secara beransur-ansur membenarkan eksport bahan api itu disambung semula secara beransur-ansur selepas bekalan domestik telah dipenuhi dalam persekitaran bantahan daripada Jepun dan Korea Selatan menjelang musim sejuk.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata dengan pemetraian perjanjian itu, beliau memberi jaminan bekalan arang batu kepada TNB diperolehi secara berterusan.

“Itu menjamin pembekalan arang batu kepada TNB, menjalin hubungan baik dan dalam rangka agensi itu sendiri, mereka turut meneroka sumber lain termasuk pengunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB), solar dan kemudian hidrogen.

“Jadi itu antara pelan tindakan diambil TNB bagi memastikan pembekal elektrik stabil, berdaya harap dan mampu bayar supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1538
Kongsi :
Previous post Pemindahan operasi TNB ke MITC rancak pertumbuhan ekonomi Ayer Keroh
Next post Polis rampas 7 kilogram syabu di Tawau
Ubah saiz-+=