Todak Academy rancang buka sekolah e-sukan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BATU BERENDAM 30 Julai – Todak Academy merancang untuk membuka sekolah sukan elektronik (e-sukan) untuk menaikkan martabat dan membangunkan lagi mutu sukan itu di negara ini.

Pengurus Besar Todak Academy Taufik Rizal Aminuddin berkata, perancangan membuka sekolah e-sukan itu dijangka akan direalisasikan pada tahun hadapan.

Jelasnya, menerusi sekolah khas itu, ia akan membuka ruang dan peluang kepada golongan belia di negara ini untuk mempelajari secara mendalam mengenai e-sukan sehingga mampu mencipta permainan sendiri pada masa akan datang.

“Pada 23 Julai lalu, pihak Todak Academy telah pun menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).

“Kerjasama strategik ini dijalankan bagi melahirkan graduan dari bidang kreatif digital dan juga e-sukan yang berdaya saing dan kompeten.

“Insya-Allah tahun hadapan Todak Academy akan menjadi e-sports schools untuk menaikkan pembangunan sukan ini memandangkan sehingga kini kita telah bermula dengan merekrut belia seawal usia 16 tahun yang mempunyai minat mendalam terhadap sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada sidang media selepas Majlis Penutup Kejohanan Game-on Esport MISDEC di Batu Berendam hari ini.

TAUFIK Rizal

Dalam pada itu, Taufik Rizal berkata, pelajar di Todak Academy bukan sahaja akan mengikuti pembelajaran secara teori malah turut didedahkan dengan praktikal.

Katanya, graduan itu nanti bakal menguruskan pertandingan atau pasukan e-sukan sendiri selepas tamat pengajian, selain mereka juga diberi peluang membangunkan permainan baharu secara dalam talian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2170
Kongsi :
Previous post Polis buru lelaki pecah cermin kereta, ugut pemandu wanita
Next post Yew Gadget komited melabur demi masa depan e-sukan Melaka
Ubah saiz-+=